• Black Friday, Cyber Monday Kuasai Bualan Dalam Talian

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR -- Syarikat risikan media global, Meltwater, mendpati lebih lapan daripada 10 atau 82.92 peratus perbualan dalam talian ditumpukan kepada Black Friday dan Cyber Monday sebagai reaksi kepada jualan Singles’ Day, Black Friday dan Cyber Monday.

    Pengarah Kawasan Meltwater Jepun dan Asia Tenggara, Neil Brennan berkata, walaupun jualan Singles’ Day mencatat nilai tertinggi iaitu US$25.3 bilion, tetapi Black Friday dan Cyber Monday yang menguasai perbualan media sosial di Singapura, Malaysia dan Indonesia.

    “Peningkatan Singles’ Day dalam beberapa tahun kebelakangan ini amat menakjubkan, memecah rekod setiap tahun dan menarik minat dari seluruh dunia. Walapun jelas pengguna China berbelanja dan bercakap mengenai Singles’ Day, perbelanjaan besar dan perbualan tinggi di China nampaknya tidak berlaku di pasaran lain di Asia Tenggara.

    "Black Friday dan Cyber Monday masih tetap berlaku, menonjolkan fakta bahawa pasaran-pasaran ini belum ditembusi sepenuhnya oleh fenomena China," katanya dalam satu kenyataan.

    Meltwater menjejaki persepsi dalam talian di Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, blog, forum, papan mesej dan tapak semakan dari 28 Oktober hingga 28 November 2017.

    Di peringkat serantau, Indonesia menjadi peneraju dengan mempunyai volum bualan dalam talian tertinggi dengan 88.6 peratus bualan berkisar mengenai Black Friday dan Cyber Monday.

    Daripada tiga pasaran yang dipantau, Singapura menjana bualan media sosial tertinggi untuk Singles’ Day, iaitu 22.14 peratus daripada bualan, diikuti oleh Malaysia pada 21.97 peratus.

    Bualan itu selalunya mengenai usaha mendapatkan tawaran hebat daripada peruncit tertentu.

    Twitter adalah platform teratas dengan menyumbang lebih separuh daripada bualan mengenai Singles’ Day dan lebih 85 peratus daripada bualan mengenai Black Friday dan Cyber Monday.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Black Friday, Cyber Monday Kuasai Bualan Dalam Talian "