• Biodiesel: Indonesia Mungkin Akan Saman Amerika Syarikat

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    JAKARTA: Indonesia menggesa Amerika Syarikat untuk membatalkan keputusannya mengenai penguatkuasaan duti timbal balas terhadap produk biodiesel Indonesia.

    Menteri Perdagangan, Enggartiasto Lukita berkata Washington telah meluluskan pelaksanaan baharu untuk produk tersebut dengan mengenakan tarif antara 34.45 hingga 64.73 peratus.

    "Kerajaan Indonesia menyeru kerajaan Amerika Syarikat untuk mempertimbangkan semula keputusannya dan menghormati hubungan baik antara kedua negara," katanya.

    Beliau berkata Indonesia ketika ini sedang mempertimbang untuk memfailkan aduan kepada mahkamah Amerika Syraikat dan badan penyelesaian pertikaian WTO mengenai langkah anti-penetapan harga yang dibuat oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (USDOC) pada 9 November.

    Selain Indonesia USDOC juga mengenakan langkah serupa terhadap Argentina dengan mengenakan tarif yang lebih tinggi antara 71.45 hingga 72.28 peratus.

    Enggartiasto berkata Amerika Syarikat perlu menunjukkan bukti terlebih dahulu berhubung penetapan harga melampau yang dibuat Indonesia bagi produk itu.

    Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat kini sedang menyiasat dakwaan itu.

    Suruhanjaya itu akan mengumumkan keputusannya pada 21 Disember depan.

    "Sekiranya metodologi dan pengiraan yang digunakan oleh AS tidak selaras dengan Perjanjian Subsidi WTO dan langkah-langkah lain,

    "Kami akan mempertimbangkan untuk menilai semula import Indonesia dari Amerika Syarikat," ujarnya.

    Pada 2016, eksport biodiesel Indonesia ke Amerika Syarikat telah mencapai US$255.56 juta atau 89.19 peratus daripada jumlah eksport biodiesel Indonesia.

    Tetapi pada 2017, eksport dihentikan kerana langkah anti-lambakan dilaksana. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Biodiesel: Indonesia Mungkin Akan Saman Amerika Syarikat "