• Bintang Itali Kembali Ke Bumi Nyata

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    MILAN: Pemain skuad kebangsaan Itali yang tergamam kembali ke aksi Serie A hujung minggu ini beberapa hari selepas status mereka dalam bola sepak dunia berkecai dengan kegagalan mengejut layak ke Piala Dunia.

    Penjaga gol hebat, Gianluigi Buffon kembali berlatih dengan Juventus sesudah persaraan penuh emosi daripada tugasan antarabangsa selepas tempoh dua dekad, bersedia bagi perlawanan Ahad ini di Sampdoria, di samping pemenang Piala Dunia 2006, Andrea Barzagli dan Giorgio Chiellini.

    Daniele De Rossi, seorang lagi bekas juara dunia, kembali bersama AS Roma bagi pertembungan jiran setempat 'Derby della Capitale' menentang musuh tetangga Lazio, malam esok.

    "Jelas tiada siapa menjangkakan ia berakhir sebegini. Ia amat mengecewakan bukan saja buat kami tapi seluruh rakyat Itali," kata pemain Roma, Stephan El Shaarawy selepas kekalahan 0-1 secara agregat pada playoff di tangan Sweden menyebabkan juara empat kali itu gagal ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

    "Hati saya terlalu luluh tapi kami mesti bangkit dan cuba berusaha untuk persediaan masa depan," katanya.

    Kapten Juventus, Buffon dan rakan sepasukan Itali kini boleh fokus sepenuhnya memburu kejuaraan Serie A ketujuh berturut-turut dan kempen Liga Juara-Juara mereka menentang Barcelona pertengahan minggu depan.

    Napoli mengungguli carta Serie A Itali dengan 32 mata daripada 12 perlawanan, satu mata di depan Juventus manakala Inter Milan di tangga ketiga dengan 30 mata.

    Juve kendalian Massimiliano Allegri menuju ke Genoa untuk berdepan Sampdoria, di tangga keenam dengan kurang beraksi satu perlawanan, mendapat rangsangan dengan kembalinya juara dunia dari Jerman, Benedikt Hoewedes daripada kecederaan.

    Napoli kendalian Maurizio Sarri pula cuba bangkit selepas hanya seri sebelum rehat tugasan antarabangsa ketika mereka menanti kunjungan pasukan tertekan AC Milan.

    Milan kendalian Vincenzo Montella di tangga ketujuh selepas menang 2-0 ke atas Sassuolo pada perlawanan terakhir namun bergelut dengan musuh lebih ternama musim ini. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Bintang Itali Kembali Ke Bumi Nyata "