• Bina 10 Sekolah Untuk Rohingya

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Muslim Care Malaysia (Muslim Care) merancang membina 10 sekolah di tiga kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Balukhali dan Tengkali, timur Bangladesh mulai tahun depan.

    Kemudahan itu disifatkan paling diperlukan di tiga kem pelarian berkenaan berikutan pelarian kanak-kanak di sana hanya bersekolah berdinding dan berlantaikan tanah serta berbumbungkan kanvas.

    Presidennya, Zulkifli Wahijan, berkata misi kali ini bukan saja tertumpu kepada perubatan tetapi juga aspek pendidikan bagi membantu kehidupan pelarian di sana yang terlalu daif.

    "Kita akan meneruskan misi Kemanusiaan Rohingya kali keenam pada 22 Disember untuk tempoh seminggu bagi memberikan bantuan perubatan dan mengenal pasti lokasi pembinaan sekolah.

    "Selain itu, pasukan 15 sukarelawan Muslim Care termasuk lima pegawai perubatan akan ke sana untuk misi berdakwah, menyalurkan bantuan makanan dan memberikan perkhidmatan kesihatan bergerak," katanya pada sidang akhbar di Rumah Muslim Care di Batu Caves di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Eksekutif Editor Kaladan Press Network (KPN), Tin Soe yang menerbitkan buku edisi pertama bulan lalu bertajuk Pra-Pengusiran Terancang (Pre-Planned Expulsion) didedikasikan untuk masyarakat Rohingya di Arakan.

    Sehubungan itu, Zulkifi berkata, kos pembinaan sekolah itu dianggarkan bernilai RM250,000 bagi keseluruhan 10 sekolah berkenaan.

    "Sebelum ini, kita pernah membina Sekolah Muslim Care di Mrak-U, Arakan, Myanmar namun tidak boleh lagi dilawati berikutan kerajaan terbabit mengawal ketat akses memasuki Rahingya termasuk menyekat bantuan kemanusiaan daripada agensi bantuan antarabangsa.

    "Justeru kita berharap lebih ramai rakyat negara ini menginfakkan sedekah bagi menjayakan rancangan membina sekolah dan menyalurkan bantuan kemiskinan di sana," katanya.

    Katanya, setakat ini Muslim Care menyumbangkan 40 telaga tiub untuk membekalkan air bersih di kem pelarian di sana. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Bina 10 Sekolah Untuk Rohingya "