• Belum Rezeki Saya: Khairul

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Manusia terpantas Asia Tenggara dalam acara pecut 100 meter (m), Khairul Hafiz Jantan menegaskan dia tidak akan berputus asa meskipun tidak disenaraikan di dalam Program Podium.

    Atlet berusia 19 tahun itu berkata belum tiba masanya untuk dia layak menyertai program kendalian Institut Sukan Negara (ISN) pada masa ini.

    "Belum rezeki saya lagi dan saya sendiri pun tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

    "Ia sedikit pun tidak melemahkan saya tetapi ia berikan semangat untuk lebih maju. Saya akan cuba lakukan yang terbaik," kata Khairul Hafiz yang berharap dapat beraksi di Sukan Olimpik pada satu hari nanti ketika dihubungi, hari ini.

    Baru-baru ini Program Podium menyenaraikan tiga atlet olahraga berbanding hanya seorang atlet - Nauraj Singh Randhawa di dalam program berkenaan tahun ini.

    Pengarah Program Podium, Tim Newenham mengumumkan senarai 146 atlet ke dalam Program Podium dengan penambahan dua atlet olahraga ke dalam Podium iaitu atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi serta atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin bermula Januari depan.

    Beberapa nama sebelum ini dikemukakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) termasuklah Khairul Hafiz serta dua pemegang rekod Asia Tenggara, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei masing-masing dalam acara baling tukul lelaki dan wanita.

    Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata Khairul Hafiz tidak disenaraikan kerana masih belum memenuhi kriteria yang ditetapkan apatah lagi catatan rekod kebangsaan 10.18 saat itu masih jauh di belakang berbanding pelari di peringkat Asia dan Komanwel.

    Ranking terkini meletakkan catatan masa 100m yang dilakukan Khairul Hafiz berada di kedudukan kesembilan di peringkat Asia dan kedudukan ke-60 dalam kalangan pelari di negara Komanwel

    Dalam perkembangan lain, Khairul Hafiz yang menamatkan kemarau emas 14 tahun acara riben biru kini mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Asia dan Komanwel tahun depan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Belum Rezeki Saya: Khairul "