• Beli Kawasaki Ninja ‘Cash’ Dengan Duit Syiling

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+



    MEMPUNYAI impian dan cita-cita tinggi sangat digalakkan dan untuk mencapainya pastilah disertakan dengan usaha.

    Nampaknya, peribahasa berbunyi usaha tangga kejayaan itu masih sesuai boleh diamalkan pada zaman kini.

    Baru-baru ini tular gambar pasangan suami isteri membeli sebuah motosikal model Kawasaki Ninja menerusi laman sosial di Indonesia.

    Mungkin bagi sesetengah pihak, membeli sebuah motosikal perkara biasa, tetapi tidak bagi pasangan ini apabila mereka membayar motosikal itu dengan tunai dan kesemuanya duit syiling!

    Menurut portal Tribunnews, Eko Margono, 40, dan isterinya Ernawati, 35, membeli motosikal itu pada 8 November lalu daripada hasil duit simpanan mereka selama dua tahun.

    Kisah mereka menjadi tular apabila satu akaun Instagram motosikal berkenaan memuat naik beberapa gambar duit yang diterima mereka serta aktiviti mengira yang dijalankan para pekerja.

    Khabarnya, pasangan yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia itu telah menabung sejak dua tahun yang lalu. Hasil tabungan tersebut akhirnya membolehkan mereka membeli motosikal Kawasaki Ninja 250 FI.

    Wang yang berjumlah 42 juta rupiah (RM12975.65) itu berjaya disimpan di dalam sebuah bekas roti sebelum kepingan 100, 200, 500 dan 1,000 rupiah itu digunakan untuk membeli motosikal berwarna hitam itu.

    Namun, menurut portal itu, harga pasaran motosikal berkenaan ialah 59.8 juta rupiah (RM18474.86). Mungkin, pasangan suami isteri itu menambah dengan wang tunai lain untuk mencukupkan nilai tersebut.

    Walau apapun, pasangan ini jelas membuktikan dengan usaha, impian mampu jadi kenyataan. Mungkin boleh jadi inspirasi buat mereka yang masih ragu-ragu sama ada mampu atau tidak untuk beli motosikal berkuasa tinggi itu. – MYNEWSHUB.CC/SA

    Subjects:

  • No Comment to " Beli Kawasaki Ninja ‘Cash’ Dengan Duit Syiling "