• Bekas Pegawai MIMOS Dipenjara, Denda

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Pengurus Besar Kewangan MIMOS Berhad, Khairuddin Khalid, menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda lebih RM2 juta selepas mengekalkan sabitan bersalah meminta dan memperoleh rasuah, 16 tahun lalu.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Dr Badariah Sahamid menolak rayuan Khairuddin, 57, untuk mengetepikan sabitan, penjara lima tahun dan denda RM458,325 atau enam bulan penjara atas pertuduhan pertama.

    Di samping itu, panel juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengenai sabitan terhadap tertuduh atas tiga lagi pertuduhan selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada tuduhan berkenaan.

    Mohd Zawawi yang mempengerusikan panel itu, mengenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RM625,000 atau enam bulan penjara terhadap Khairuddin atas pertuduhan kedua, penjara lima tahun dan denda RM1.01 juta atau 10 bulan penjara atas pertuduhan ketiga dan penjara lima tahun dan denda RM416,686.88 atau 10 bulan penjara atas pertuduhan keempat.

    Bagaimanapun, beliau memerintahkan Khairuddin menjalani hukuman penjara itu serentak mulai hari ini.

    Dalam penghakimannya, Mohd Zawawi berkata, mahkamah mendapati wujud bukti mencukupi untuk menyokong sabitan terhadap Khairuddin atas pertuduhan terbabit.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2001, 4 September 2001, 31 Oktober 2001 dan 8 Februari 2002.

    Atas pertuduhan pertama, Khairuddin didakwa memperoleh suapan berjumlah RM91,665 daripada Pengerusi Eksekutif, Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Muhammad Khalid Ismail, sebagai upah untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwalnya iaitu melabur dana pelaburan MIMOS.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan berjumlah RM150,000 daripada individu sama dengan RM125,000 daripada jumlah itu adalah upah untuk pelaburan MIMOS dalam syarikat terbabit.

    Bagi pertuduhan ketiga, Khairuddin didakwa meminta suapan RM295,750 daripada individu sama dengan RM202,000 daripada jumlah itu adalah upah untuk pelaburan MIMOS.

    Bagi pertuduhan keempat, Khairuddin didakwa meminta suapan RM447,833 daripada individu sama dengan RM83,337.37 dariipada jumlah itu adalah upah bagi pelaburan MIMOS.

    Sebelum ini, Khairuddin disabitkan kesalahan atas lapan pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen tetapi selepas rayuan, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan atas pertuduhan pertama dan mengetepikan tujuh lagi pertuduhan meminta dan memperoleh suapan.

    Hari ini, pihak pendakwaan menarik balik rayuan pembebasan Khairuddin terhadap empat lagi pertuduhan.

    Khairuddin diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Pegawai MIMOS Dipenjara, Denda "