• Bekas kakitangan sekolah didakwa pecah amanah

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Seorang bekas pembantu tadbir sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan jumlah sebanyak RM225,912.24 pada tiga tahun lalu.

    Siti Norlaily Narawi, 45, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pecah amanah atas kapasiti sebagai penjawat awam yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas bayaran kontrak pembersihan dan kawalan keselamatan berjumlah RM225,912.24.

    Dia didakwa dengan niat melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan antara jam 8 pagi hingga 5 petang di sebuah sekolah menengah di daerah ini antara 19 Mac hingga 19 Disember 2014.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dengan sebat dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah dan tertuduh diwakili peguam Tengku Fuad Ahmad.

    Ainul Shahrin membenarkan Siti Norlaily diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Papar pada hari pertama setiap bulan.

    Terdahulu, Hafizah Zahidah meminta mahkamah mengenakan wang jaminan RM15,000 dengan dua penjamin terhadap tertuduh, namun Tengku Fuad meminta ia dikurangkan kepada RM5,000 kerana tertuduh kini tidak bekerja dan mempunyai empat anak.

    "Tertuduh juga tidak mempunyai kesalahan lampau dan ini kali pertama dia dihadapkan ke mahkamah," katanya.

    Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 11, 12 dan 13 April tahun depan, manakala pengurusan kes pada 22 Januari 2018.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas kakitangan sekolah didakwa pecah amanah "