• Beg Tangan Unik, Inspirasi Mi Segera Indomie

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+


    MI segera merupakan makanan yang sangat digemari majoriti lapisan masyarakat.

    Boleh dikatakan mi segera antara makanan ‘wajib’ untuk pelajar dan sesiapa sahaja yang berkunjung ke kedai mamak.

    Tetapi, cuba bayangkan jika rekaan bungkusan makanan itu dijadikan ilham untuk menghasilkan beg tangan. Bagaimana agak rupanya?

    Baru-baru ini tular gambar seorang pelakon yang menggayakan beg tangan Indomie ke suatu majlis fesyen di Jakarta, Indonesia.

    Selebriti Nindy atau nama sebenarnya Anindia Yandirest Ayunda telah ‘curi’ tumpuan orang ramai apabila menggayakan beg yang rekaannya seperti jenama mi Indomie itu pada Jakarta Fashion Week.

    Khabarnya, beg tangan unik itu adalah rekaan seorang pereka fesyen terkenal Indonesia iaitu Mariko Tampi Budiman.

    Menurut satu portal tempatan, Mariko tidak menyangka beg yang diperagakan oleh Nindy mencuri tumpuan ramai dan menjadi tular di media sosial.

    “Sebenarnya beg ini sudah dibuat beberapa bulan lalu. Tapi baru dihubungi untuk dipinjamkan di fashion week itu.

    “Saya juga sangat terkejut kerana sama sekali tidak menyangka akan menjadi tular. Ini sangat tidak dirancang. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan,” katanya.

    Oleh kerana ramai yang ingin membeli beg Indomie itu, Mariko terpaksa mengehadkan pesanan yang diambil kerana pembuatannya memakan masa yang lama.

    “Untuk beg Indomie, proses pembuatannya memakan masa 15 ke 20 jam kerana semuanya buatan tangan.

    “Jika sesiapa yang memesan beg ini, mereka akan berada dalam senarai menunggu sekurang-kurangnya tiga bulan. Saya ingin pastikan kualiti produk yang dihasilkan bagus kerana saya seorang yang teliti,” ujarnya.

    Mariko juga turut terkenal dengan rekaannya yang unik dan teliti. Jika diperhatikan di laman Instagramnya, ibu kepada tiga orang ini banyak memuat naik gambar-gambar beg yang direkanya.

    Malah, Mariko turut menghasilkan rekaan beg yang lain seperti beg seakan-akan kotak parasetomal Panadol, keropok jenama Taronet serta banyak lagi.

    Sudah pasti rekaannya yang lain daripada yang lain ini mampu menarik minat penggemar dan pengumpul koleksi beg tangan unik. – MYNEWSHUB.CC/SA

    Subjects:

  • No Comment to " Beg Tangan Unik, Inspirasi Mi Segera Indomie "