• Bebas Setelah Dijel 38 Tahun Akibat Tersalah Hukum

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+


    LOS ANGELES - CALIFORNIA. Gabenor California Jerry Brown pada Rabu mengeluarkan satu perintah pengampunan kepada seorang warga emas berusia 70 tahun, Craig Richard Coley, yang tersalah dihukum bagi dua kesalahan membunuh pada 1980 dan terpaksa meringkuk dalam penjara sejak itu, lapor agensi berita China Xinhua.

    Coley diberkas susulan kematian seorang wanita, Rhonda Wicht dan anak lelakinya yang berusia empat tahun, Donald, pada 1978 di Simi Valley, 70 kilometer di barat Los Angeles.

    Dua tahun kemudian, dia disabitkan dengan jenayah tidak pernah dilakukannya dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang kemungkinan untuk parol.

    Coley memohon supaya satu siasatan baharu dilakukan oleh Lembaga Parol pada 2015.

    Akhirnya, seorang bekas detektif, kapten dan pegawai polis percaya bahawa detektif asal kes itu telah salah memperlakukan siasatan atau menganiaya Coley.

    Ketika memberikan pengampunan itu pada malam Kesyukuran, Brown berkata, Coley tidak memiliki rekod jenayah sebelum disabitkan dengan kesalahan membunuh tersebut dan menjadi 'banduan contoh selama hampir empat dekad' dengan mengelak menyertai sebarang kumpulan gengster dalam penjara atau melakukan keganasan.

    "Kesabaran dan ketabahan Coley sepanjang menjalani tempoh hukuman yang lama serta pemenjaraan yang tidak adil amat luar biasa," menurut perintah pengampunan itu.

    Gabenor itu mengarahkan Jabatan Koreksional California untuk membebaskan Coley serta-merta dari penjara dan mengheret pelaku sebenar jenayah tersebut ke muka pengadilan.

    Dua hari sebelum pengampunan itu iaitu pada Isnin, Jabatan Polis Simi Valley dan Pejabat Peguam Negara Daerah Ventura County mengumumkan bahawa berdasarkan ujian DNA, Coley sebenarnya tidak bersalah dan telah tersalah dihukum.

    "Ini adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan merupakan satu peringatan tragis bahawa sistem keadilan terbaik yang pernah dicipta manusia juga tidak sempurna," kata Peguam Daerah Ventura County, Gregory Totten, pada sidang media.

    Totten dipetik akhbar tempatan Ventura Star sebagai berkata, beliau berharap dapat bertemu dan bersalaman dengan Coley suatu hari nanti serta meminta maaf di atas ketidakadilan yang terpaksa ditanggungnya selama hampir 40 tahun.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bebas Setelah Dijel 38 Tahun Akibat Tersalah Hukum "