• Batal lesen syarikat gantung iklan

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan lesen syarikat yang masih menggantung iklan di tiang lampu dan lampu isyarat, selewat-lewatnya Januari depan.

    Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk sebab sebagai amaran tegas sebelum membatalkan lesen operasi syarikat berkenaan.

    Pada masa sama, katanya, ia membolehkan DBKL mengurangkan tenaga anggotanya yang terbabit dalam kerja menurunkan poster berkaitan.

    "Kos operasi dan bayaran kerja lebih masa untuk anggota DBKL terbabit berjumlah RM3 juta tahun lalu. Dalam sehari kita ada beribu-ribu poster perlu diturunkan.

    "Ketika ini, kita ada 11 pasukan terdiri daripada anggota DBKL yang menurunkan poster berkenaan setiap hari.

    "Kita dilihat 'juara' dalam hal ini. Di China, Thailand dan Indonesia tidak ada (isu gantung iklan di tiang lampu dan lampu isyarat)," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan 'Pasukan Rovers' DBKL, di sini, hari ini.

    Mengenai 'Pasukan Rovers', Mhd Amin berkata, ia dianggotai lapan kakitangan DBKL yang akan memantau kelancaran trafik di empat zon utama sekitar ibu negara bermula hari ini.

    Katanya, zon terbabit ialah Bukit Bintang, Masjid India, Chow Kit dan Brickfields.

    "Mereka akan pantau keadaan trafik pada waktu puncak, jam 7 pagi hingga 9 pagi, jam 12 tengah hari hingga 2 petang, jam 5 petang hingga 7 malam.

    "Skop kerja mereka termasuk melihat pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan yang mempunyai tanda larangan.

    "Anggota DBKL akan menggunakan pembesar suara bagi memberi amaran, bagi kenderaan yang tidak mempunyai pemandu. DBKL tidak teragak-agak akan menunda kenderaan terbabit," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Batal lesen syarikat gantung iklan "