• Banyaknya Duit Beri Rasuah

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    Jurubahasa sambilan Vietnam bersama suami dan seorang tauke bot direman tujuh hari bermula hari ini kerana dipercayai memberi suapan RM100,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    Perintah reman terhadap wanita berusia 29 tahun bersama suaminya, warga tempatan berusia 36 tahun dan tauke bot Vietnam berusia 48 tahun dikeluarkan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy di Mahkamah Majistret Kemaman.

    Tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana memberi suapan kepada penjawat awam.

    Terdahulu, tiga suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kemaman pada jam 9 pagi.

    Tiga suspek terbabit ditahan di sebuah restoran di Kemaman pada jam 1.30 tengah hari semalam selepas menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada seorang pegawai APMM sebagai rundingan supaya sebuah bot nelayan Vietnam, yang ditahan baru-baru ini dan menunggu untuk proses pelupusan dapat dilepaskan.

    Bot itu dibawa masuk dan ditahan di jeti Pangkalan Maritim Kemaman di Bukit Kuang untuk siasatan lanjut.

    Jurubahasa yang dibantu suaminya yang juga pekerja pelantar minyak dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam proses rundingan antara tauke bot Vietnam dengan pegawai APMM.

    Difahamkan, pasangan suami isteri itu sebelum ini menyerahkan suapan sebanyak RM55,000 kepada pegawai APMM untuk rundingan sebuah bot nelayan Vietnam lain pada Ogos lalu.

    Modus operandi sama juga dipercayai akan digunakan suspek untuk melepaskan banyak lagi bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana kesalahan menangkap ikan secara haram dan masuk ke Malaysia tanpa permit sah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Banyaknya Duit Beri Rasuah "