• Bantuan Musim Tengkujuh untuk pekebun kecil, penoreh kekal

    Published: Wednesday, 15 November 2017
    A- A+
    Seramai 499, 802 pekebun kecil dan penoreh telah mendaftar untuk menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dari seluruh negara.

    Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komiditi, Datuk Nasrun Mansur daripada jumlah tersebut seramai 392,680 daripada kawasan getah matang, dan 107,122 daripada kawasan tidak matang.

    Tambah Menteri lagi, daripada jumlah itu juga, seramai 364,596 merupakan pekebun kecil individu dan 135,106 adalah pekebun kecil di bawah seliaan agensi seperti FELDA, FELCRA, Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

    “Sehingga 14 November 2017, seramai 264, 352 orang telah menerima BMT di seluruh negara.

    “Buat masa ini kerajaan tidak bercadang untuk menyediakan bantuan lain untuk membantu pekebun dan penoreh getah bagi memperoleh pendapatan ketika musim tengkujuh,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi di Dewan Rakyat, Rabu.

    Terdahulu, Budiman meminta kementerian menyatakan berapakah jumlah pekebun dan penoreh getah yang layak menerima BMT pada tahun ini dan adakah terdapat apa-apa inisiatif selain daripada pemberian BMT secara one-off ini yang dirancang dilakukan pada masa hadapan bagi memastikan mereka dapat memperoleh pendapatan ketika musim tengkujuh.

    BMT adalah bantuan kewangan bertujuan memastikan kebajikan pekebun kecil getah dan penoreh terpelihara pada musim tengkujuh melalui peruntukan sebanyak RM261 juta yang disediakan kerajaan Persekutuan.

    Bantuan itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2017, akan diberikan kepada 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara berikutan musim tengkujuh.

    BMT adalah satu-satunya langkah seumpamanya yang diperkenalkan bagi meringankan beban kewangan pekebun kecil getah dan penoreh apabila punca pendapatan utama mereka terjejas teruk dalam tempoh tiga bulan musim tengkujuh. - BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Bantuan Musim Tengkujuh untuk pekebun kecil, penoreh kekal "