• Bank Islam bantu pelanggan mangsa banjir tangguh bayaran enam bulan

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Bhd melancarkan Program Prihatin, khusus untuk membantu semua pelanggannya yang menjadi mangsa bencana banjir dengan pengecualian beberapa yuran dan penangguhan pembayaran bulanan pembiayaan selama enam bulan.

    Beberapa bank tempatan lain juga telah berbuat demikian untuk mengurangkan beban pelanggan mereka serta mempermudahkan urusan perbankan mereka.

    Bagi pelanggan Bank Islam, pengecualian yuran bagi sebarang permohonan untuk menggantikan kad debit dan buku akaun Bank Islam yang hilang atau musnah.

    "Para pelanggan perkhidmatan pembiayaan Bank Islam boleh memohon penangguhan pembayaran bulanan pembiayaan mereka untuk selama enam bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Khidmat pembiayaan yang terlibat termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Rumah-i.

    Menurut Bank Islam, pelepasan pembayaran Yuran Ganti Rugi (Ta'widh) dikenakan kepada pelanggan sepanjang tempoh penangguhan pembayaran (moratorium).

    "Bank Islam sentiasa meneliti perkembangan terkini bencana banjir di kawasan yang terlibat dan akan mengambil langkah proaktif untuk membantu pelanggannya menangani keadaan kewangan mereka yang terjejas akibat bencana ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Khairul Kamarudin dalam kenyataan itu.

    "Kami sedar akan kesulitan kehidupan seharian yang dihadapi oleh pelanggan kami untuk menangani situasi semasa. Kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi salah satu keutamaan kami," katanya.

    Beliau berkata bank berharap program berkenaan dapat melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini.

    "Kami bertekad dan komited untuk membantu dan menyokong negeri-negeri yang terjejas dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terjamin," tambah beliau.

    Sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi akaun para pelanggan dan urusan perniagaan, Bank Islam juga akan menghentikan, buat sementara waktu, beberapa perkhidmatan perbankan yang kurang kritikal untuk cawangan sokongannya yang terbabit dengan kerja-kerja pemulihan akibat banjir, katanya.

    Perkhidmatan perbankan yang akan dihentikan termasuk pembukaan akaun baharu, permohonan untuk khidmat perbankan Internet dan perubahan kepada maklumat pelanggan, kata bank itu.

    Para pelanggan boleh membuat panggilan kepada Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03- 26900900 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai Program Prihatin Bank Islam.

    Untuk sebarang pertanyaan dan permohonan mengenai penangguhan pembayaran bulanan khidmat pembiayaan Bank Islam dan pelepasan bayaran Yuran Ganti Rugi (Ta'widh), para pelanggan boleh berhubung terus di talian 03- 26900922. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bank Islam bantu pelanggan mangsa banjir tangguh bayaran enam bulan "