• Banjir P.Pinang: Lima Fasiliti Kesihatan Terjejas Akibat Banjir

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memastikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan diteruskan di lima fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata lima fasiliti kesihatan yang terjejas itu ialah Hospital Pulau Pinang, Klinik Kesihatan Mak Mandin, Klinik Desa Lahar Yooi, Klinik Kesihatan Perai dan Klinik 1Malaysia Taman Seri Delima.

    "Di Hospital Pulau Pinang dan Klinik Kesihatan Perai, kerja-kerja pemulihan dan pembersihan sedang dilakukan selain akan beroperasi seperti biasa pada Isnin, manakala tiga fasiliti lain masih dinaiki air banjir," katanya dalam kenyataan di sini.

    Dr Noor Hisham berkata tiada fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir di Kedah dan Perak setakat ini.

    Sehubungan itu, katanya orang ramai perlu peka dengan keadaan serta mengikut arahan semasa daripada pihak berkuasa kerana air banjir merupakan air yang tercemar dan kotor yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit berjangkit seperti cirit birit, demam kepialu (tifoid), hepatitis A dan leptospirosis (penyakit kencing tikus).

    "Selain itu, sentuhan terus dengan air banjir tercemar juga boleh menyebabkan jangkitan kepada luka, kulit, mata, jangkitan kepada telinga, hidung dan tekak. Penyakit demam denggi, chikungunya dan malaria juga perlu diberi perhatian kerana semasa banjir hujan akan menyebabkan bekas-bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles.

    "Banjir juga memberi kesan negatif kepada pengendalian kes-kes penyakit kronik, penjagaan kesihatan ibu hamil serta meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan bagi mereka yang terlibat di dalam kejadian banjir, justeru persediaan serta langkah berjaga-jaga perlu dibuat bagi memastikan pengendalian kes-kes kronik dan penjagaan ibu hamil dapat diteruskan seperti biasa," katanya.

    Dr Noor Hisham berkata mangsa banjir juga perlu mengamalkan penjagaan kebersihan semasa dan selepas banjir terutama sekali perlu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih terutama dalam penyediaan makanan serta aktiviti pembersihan.

    Katanya orang ramai, sekiranya sakit dinasihati untuk mendapatkan rawatan dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Banjir P.Pinang: Lima Fasiliti Kesihatan Terjejas Akibat Banjir "