• Banjir: Kerajaan P.Pinang Bentang Usul Tergempar

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP pada Isnin membentangkan usul tergempar di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini berhubung kejadian banjir buruk yang melanda negeri ini pada Sabtu dan Ahad lalu.

    Ketika membentangkan usul berkenaan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan, negeri, dan pihak berkuasa tempatan supaya meneliti dan menambah baik Prosedur Operasi Standard dalam menyampaikan maklumat, menggerakkan kerja menyelamat dan penyaluran bantuan agar lebih berkesan dan cekap.

    "Dewan yang mulia ini juga menyeru supaya semua pihak berwajib dapat bekerjasama untuk menangani masalah banjir dengan pelaksanaan projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan alam sekitar dan mempertingkatkan keupayaan untuk menghadapi sebarang bencana," katanya.

    Beliau berkata, DUN Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda negeri ini selain menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan pelbagai bentuk bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

    "Dewan yang mulia ini menyampaikan keprihatinan kepada semua keluarga dan individu yang telah mengalami kerugian dan kerosakan harta benda akibat ribut dan hujan lebat ini," kata Kon Yeow (DAP-Padang Kota) yang mencadangkan usul tergempar berkenaan di bawah Peraturan 30 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

    Sementara itu, ketika membahaskan usul itu, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berharap agar agensi-agensi yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan memberi komitmen yang tinggi dalam membantu masyarakat.

    "Kita amat menghargai pihak-pihak yang telah membantu mangsa-mangsa yang terlibat banjir ini. Ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik sebagai contoh untuk menempatkan mangsa di satu dewan atau pusat pemindahan sementara ini tidak mencukupi, ada yang tidur hanya beralaskan kain sahaja.

    “Kami yang mewakili Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan apa yang berlaku dan berharap semua pihak untuk terus menyumbang," katanya yang turut menyokong usul berkenaan.

    Yap Soo Huey (DAP-Pulau Tikus) mencadangkan agar papan elektronik dipasang bagi membolehkan masyarakat mengetahui maklumat mengenai banjir dan ribut dengan lebih cepat manakala Soon Lip Chee (DAP-Jawi) meminta Jabatan Meteorologi Malaysia memberi maklumat kepada rakyat dengan lebih pantas.

    Dalam pada itu, R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) menzahirkan ucapan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menerima panggilan telefon daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada jam 3 pagi berhubung permasalahan banjir seterusnya mengerahkan anggota tentera untuk turun membantu.

    "Walaupun kita kadangkala ada berbalah dalam isu-isu politik namun kejadian malapetaka ini menunjukkan sifat kemanusiaan kita, masing-masing datang membantu. Datuk Seri Shahidan Kasim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pun turun di Seberang Perai Tengah dan adakan mesyuarat lewat tengah malam untuk pastikan kerja-kerja menyelamat ini berjalan lancar," katanya.

    Sementara itu, Kon Yeow ketika menggulung perbahasan usul tersebut berkata, pihaknya akan mengambil maklum permasalahan dan cadangan yang dibangkitkan bagi mengatasi bencana buruk yang berlaku dengan membawa perkara terbabit kepada agensi berkaitan.

    Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan sistem amaran banjir di empat sungai utama iaitu Sungai Kuala Muda, Sungai Prai, Sungai Pinang dan Sungai Juru.

    Usul berkenaan kemudian diluluskan sebulat suara.

    Hujan lebat yang bermula pada pukul 2 petang Sabtu lalu dan berterusan sehingga pagi Ahad (5 Nov) menyebabkan Pulau Pinang lumpuh akibat dilanda banjir selain mengorbankan tujuh individu.

    Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Banjir: Kerajaan P.Pinang Bentang Usul Tergempar "