• Balotelli Hero Yang Dibuang Padang

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    PARIS: Mario Balotelli menjaringkan gol tunggal untuk membantu Nice menewaskan Dijon 1-0 dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi namun kegembiraan itu hanya sementara apabila pemain itu kemudiannya dibuang padang.

    Penyerang Itali itu meledak penalti lima minit sebelum tamat separuh masa pertama selepas kekasaran ke atas Alassane Plea untuk gol keenamnya pada kempen kali ini.

    Dia kemudiannya dibuang padang buat kali ketiga dalam Ligue 1 sejak berpindah ke Nice awal musim lalu, apabila dilayangkan kad merah kerana membentes pertahanan Dijon Cedric Yambere dari belakang berbaki seminit perlawanan.

    Balotello berbalah dengan pembantu pengadil ketika keluar padang namun Nice terus bertahan untuk mengakhiri empat kekalahan berturut-turut liga, dan enam dalam semua kejohanan.

    Nice naik ke tangga ke-15, satu mata dan satu tangga mengatasi Dijon.

    "Tanpa mengkritik sesiapa, ia kelihatan agak kasar. Dia mahu merebut bola dan tidak berniat untuk mencederakan sesiapa,” kata jurulatih Nice Lucien Favre susulan penyingkiran Balotelli.

    “Namun memang benar terjahan dari belakang akan menyebabkan layangan kad merah. Dia berang selepas perlawanan itu dan menyangka hukuman itu terlalu kejam buatnya, namun sekarang semuanya baik.”

    Sementara itu Lille meredakan tekanan ke atas jurulatih Marcelo Bielsa dengan kemenangan 3-0 ke atas kelab tercorot Metz - kemenangan pertama sejak awal kempen.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Balotelli Hero Yang Dibuang Padang "