• Bajet seimbang: Tidak perlu tergesa-gesa

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam usahanya mencapai bajet seimbang menjelang 2020, kata Ketua Pakar Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Ilias.

    Suhaimi berkata, usaha mengurangkan defisit bajet ketika ini sudah sangat baik dan jika kerajaan mampu mencapai sasaran itu, ia perlu disebabkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan yang mantap.

    "Mencapai bajet seimbang pada 2020 memerlukan kerajaan melaksanakan pengurangan besar dalam defisit bajet 2019 dan 2020 dan ia berpotensi menjejaskan ekonomi.

    "Adakah kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan, menghentikan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mengurangkan kakitangan perkhidmatan awam, menaikkan cukai pendapatan atau cukai barang dan perkhidmatan?

    "Ini beberapa perkara yang perlu dipertimbang apabila kita bercakap mengenai bajet seimbang," katanya pada Prospek Ekonomi Pasaran Global 2018 Maybank, di sini hari ini.

    Semasa pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini, kerajaan mengulangi komitmennya untuk mengukuhkan lagi defisit fiskal ke arah mencapai bajet hampir seimbang pada 2020.

    Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 2.8 peratus (RM39.8 bilion) daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2018 berbanding 3.0 peratus (RM39.9 bilion) pada 2017.

    Mengenai prospek ekonomi pasaran global, Suhaimi berkata, bank itu berpendapat momentum pertumbuhan global ketika ini akan kekal mampan sehingga tahun depan, dipacu pengembangan serentak dalam ekonomi G3, iaitu Amerika Syarikat, Zon Euro dan Jepun.

    "Kenaikan kadar faedah AS yang lambat oleh Rizab Persekutuan berbanding pemotongan kadar faedah yang mendadak sebelumnya baik untuk kitaran pertumbuhan AS yang lebih panjang.

    "Zon Euro telah menunjukkan pertumbuhan yang meningkat manakala inflasi dilihat berlaku di Jepun," katanya sambil menambah, apabila ekonomi G3 berkembang baik, ia juga akan memberi manfaat kepada ekonomi serantau, termasuk negara dipacu eksport seperti Malaysia.

    Katanya, Malaysia mampu mengekalkan pertumbuhan KDNK tahun depan berikutan jangkaan prestasi ekonomi global yang semakin menggalakkan.

    Maybank mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak 5.5 peratus pada 2017 dan 5.1 peratus pada 2018, serta kadar inflasi empat peratus tahun ini dan antara 2.5 peratus dan 3.0 peratus pada 2018.

    Mengenai kadar faedah penanda aras utama, ia berkata, Bank Negara Malaysia dijangka menyemak semula kadar dasar semalaman kepada 3.25 peratus pada separuh pertama 2018 berbanding 3.0 peratus ketika ini.

    Mengenai ringgit, bank tersebut berkata, ia mungkin menguji paras psikologi 4.0 berbanding dolar US selepas pilihan raya umum ke-14, yang diramal antara Februari dan April tahun depan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet seimbang: Tidak perlu tergesa-gesa "