• Bajet Sarawak 2018 Bukti Usaha Kerajaan Lengkapkan Jalan Persisir

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Bajet Negeri 2018 membuktikan komitmen kerajaan negeri melengkapkan hubungan di sepanjang laluan jalan persisir, kata Menteri Muda Jalan Persisir Datuk Julaihi Narawi.

    "Memang hasrat kerajaan negeri untuk melengkapkan jalan persisir dan untuk melengkapkan ini, ialah membina jambatan yang terdapat di laluan jalan persisir itu sendiri," katanya.

    Memetik laporan Utusan Borneo Julaihi menambah, tanpa pembinaan jambatan, bermakna kita akan terus bergantung kepada kemudahan feri.

    "Missing link jalan pesisir sekarang ialah jambatan, jadi apabila dimasukkan bajet untuk membina jambatan seperti Jambatan Batang Lupar, usaha ini amat dialu-alukan oleh kami yang mewakili kawasan pesisir," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau.

    Katanya, sebanyak lapan buah jambatan telah dikenal pasti dan diluluskan kerajaan untuk dibina sebagai pelengkap kepada jalan pesisir pantai.

    "Antara jambatan tersebut ialah Sungai Batang Lupar, Sungai Saribas, Sungai Krian, Sungai Kemena, Sungai Batang Lassa dan Sungai Batang Paloh," tambah beliau.

    Ketua Menteri Datuk patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg mencadangkan sebanyak RM409 juta bagi pelaksanaan dan penyiapan pelbagai projek untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan negeri semasa membentangkan Bajet Negeri 2018 semalam. - Sarawakiana
  • No Comment to " Bajet Sarawak 2018 Bukti Usaha Kerajaan Lengkapkan Jalan Persisir "