• Bajet 2018 Lulus, 107 Sokong, Cuma 59 Tolak, 11 Berkecuali

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan bacaan peringkat dasar Undang-Undang Perbekalan 2018 atau juga disebut Bajet 2018 selepas undian belah bahagi yang dituntut wakil pembangkang.

    Timbalan Speaker, Datuk Seri Ismail Mohamad Said memutuskan undian belah bahagi selepas selesai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggulung perbahasan di peringkat dasar bagi kementeriannya.

    Bagaimanapun, ketika proses undian, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempengerusikan persidangan dan kemudian mengumumkan hasil keputusan pengundian yang menyaksikan pihak kerajaan berjaya memperoleh 107 undi.

    Paling memalukan apabila blok pembangkang dikenali sebagai Pakatan Harapan hanya mendapat 59 undi bagi menolak rang Bajet 2018 tersebut manakala 11 lagi Ahli Parlimen dari PAS mengambil keputusan untuk berkecuali.

    Media tempatan melaporkan bahawa sesi perbahasan peringkat dasar Bajet 2018 berlangsung ‘panas’ selama enam hari manakala tiga hari diperuntukkan kepada setiap kementerian untuk menjawab di peringkat dasar pula.

    Selepas ini Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober lalu, akan dibahaskan di peringkat Jawatankuasa Parlimen selama sembilan hari mulai esok sehingga 28 November depan.

    Bertemakan ‘Memakmur Ekonomi yang Inklusif, Mengimbangi Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50’, Bajet 2018 memperuntukkan RM280.25 bilion.

    Ini menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM260.8 bilion yang diperuntukan ketika Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Najib sendiri pada tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Lulus, 107 Sokong, Cuma 59 Tolak, 11 Berkecuali "