• Bajet 2018 Landasan Untuk Jadikan M’sia 20 Negara Maju

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembentangan Bajet 2018 oleh kerajaan, Jumaat lepas, merupakan asas perancangan kepada haja tuju untuk menjadikan Malaysia terus maju dan berada dalam kalangan 20 negara terbaik dunia.

    Perdana menteri berkata Bajet 2018 itu dirangka dengan teliti untuk mencapai visi membentuk masa depan negara bagi tempoh 2020 hingga 2050 menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) di samping bersifat inklusif dan adil kepada semua golongan rakyat.

    “Berjam-jam kita mesyuarat untuk persediaan Bajet…bila kita buat (bajet) kita berpijak kepada realiti.

    “Ini bukan bajet sandiwara, ini bukan bajet parti pembangkang…ini bajet kerajaan Barisan Nasional yang telah lama memerintah,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Kedah, di sini hari ini.

    Beliau berkata hasrat kerajaan itu boleh dilaksanakan kerana negara mempunyai sebuah kerajaan yang tahu mentadbir dan suasana yang aman.

    Najib yang dalam rangka lawatan sehari ke Kedah, negeri pertama yang dilawat selepas membentangkan Bajet 2018, berkata adalah penting untuk merasai denyut nadi rakyat dalam apa juga dasar besar yang dilaksanakan kerajaan.

    “Saya nak pemimpin turun padang, bertemu rakyat, dengar apa kata rakyat kerana itu akan saya jadikan input untuk saya merangka dasar-dasar kerajaan,” katanya.

    Sambil menempelak bajet parti pembangkang, yang disifatkan sebagai bajet sandiwara politik, Najib berkata apa yang dibentang oleh pembangkang dalam bajet bayangan mereka tidak berpijak kepada realiti seperti janji untuk memansuhkan tol.

    “Untuk mansuhkan tol PLUS (Lebuhraya Utara Selatan) sahaja (akan membabitkan) perbelanjaan hampir RM40 bilion…mana nak dapat. Kita tak boleh tadbir negara dengan benda tak masuk akal,” katanya.

    Beliau berkata begitu juga dengan cadangan pembangkang untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), yang juga akan melibatkan RM40 bilion lagi.

    “Dalam Islam pun jika berhutang kita wajib bayar…bila kita bayar kita telah melaksanakan tanggungjawab. Kita (kerajaan) boleh bagi diskaun tapi hutang wajib dibayar…dalam Bajet 2018 ini kita tambah lagi diskaun nak tolong…ini lah yang Bajet yang berasaskan syariah Islam.

    “Bukan janji itu janji ini, janji bulan janji bintang…sebagai perdana menteri saya tak boleh lakukan itu…apa yang saya katakan tetap saya laksanakan,” katanya.

    Perdana menteri berkata segala hasrat dan dasar-dasar yang dirangka dan dibentang kerajaan tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan penjawat awam yang merupakan kumpulan pelaksana.

    “Saya anggap pegawai kerajaan dan kerajaan macam isi dengan kuku, bagai aur dan tebing tak dapat dipisahkan…kita mesti bersama-sama kerana apa yang saya bentangkan terpulang kepada pegawai pelaksana untuk menjayakannnya.

    “Kalau (penjawat awam) melaksanakan tugas dengan sepenuh hati segala aspirasi kita akan dapat dijayakan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Landasan Untuk Jadikan M’sia 20 Negara Maju "