• Bajet 2018 Bukan Faktor PRU14 Makin Dekat

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    Alor Setar : Bajet 2018 yang disifatkan sebagai bajet untuk semua, ditawarkan atas rasa tanggungjawab kerajaan, bukan kerana faktor PRU14 semakin hampir.

    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, apa yang ditawarkan itu adalah kerana kerajaan BN bertanggungjawab memastikan negara terus maju, selain menzahirkan impian demi kesejahteraan rakyat.

    “Negara sedang berada di landasan yang betul. Kestabilan negara, kemakmuran ekonomi yang diiktiraf dalam dan luar negeri sepatutnya menjadi pendorong untuk kita terus bernaung bawah kerajaan sedia ada,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama penjawat awam Kedah.

    Menurutnya, Kedah tidak pernah dipinggirkan dalam manfaat bajet, di mana pakej dan pelbagai insentif pembangunan serta high yield project diumumkan, antaranya, Special Border Economic Zon serta kawasan bebas cukai di kawasan seluas 4,800 hektar dengan nilai projek pembangunan dan prospek pelaburan mencecah RM60 bilion.

    “Ini termasuk membina Pusat Rawatan Kanser bernilai RM500 juta di Sungai Petani, menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang dapat mengendalikan tiga juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta sekarang, serta penghapusan tol Bukit Kayu Hitam,” katanya.

    Ahmad Bashah berkata, Bajet 2018 turut memberi rahmat kepada penjawat awam di Kedah, merangkumi lebih 7,000 orang.

    “Sebanyak 13 insentif dan pakej khas diberikan kepada kakitangan awam, antaranya, jadual kerja anjal, kebenaran kakitangan awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas pulang awal sejam, serta bayaran khas RM1,500 kepada 1.6 juta kaki tangan awam,” katanya. - SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Bajet 2018 Bukan Faktor PRU14 Makin Dekat "