• Bahana sokong Daesh, warga Indonesia dipenjara

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang tukang jahit Indonesia yang didakwa atas tiga pertuduhan menyokong, menggalakkan aktiviti dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, antara bulan Mei hingga Jun lalu.

    Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Azman Abdullah ke atas Rino Kaswara Kasmar, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Dalam penghakimannya, Azman berkata tertuduh adalah rakyat Indonesia yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki tetapi sebaliknya dia melakukan kesalahan serius.

    Terdahulu, Azman memerintahkan tertuduh dihukum penjara masing-masing lapan tahun untuk pertuduhan pertama dan kedua manakala tiga tahun bagi pertuduhan ketiga.

    Hukuman penjara itu, bagaimanapun berjalan serentak dan berkuatkuasa dari tarikh ditangkap, pada 12 Jun lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, Rino Kaswara didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan cara melakukan sumpah setia (berbai'ah) dengan menggunakan aplikasi media sosial, Telegram "AnsharulKhilaafah Filibiin Indonesia-Filipina" dengan menggunakan nama ID "Rijal Mujahideen Minangkabau" yang diwujudkan oleh tertuduh sendiri.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Medan Niaga, Jalan Pasar Slim River, Perak, antara jam 11.36 malam hingga 11.39 malam, pada 2 Mei lalu.

    Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan kedua, dia didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dan kumpulan Daesh melalui kumpulan Telegram atas nama Rijal Mujahideen Minangkabau, di tempat sama antara 2 Mei hingga 12 Jun lalu.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 120G (B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, Rino Kaswara dituduh memiliki telefon bimbit jenis Lenovo yang di dalamnya mengandungi 83 keping gambar yang mempunyai unsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan Daesh di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Jalan Pasar, Slim River, pada jam 12.45 tengah hari, 12 Jun lalu.

    Dia didakwa mengikut bawah Seksyen 130JB (1)(a) Kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkaitan jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan sebab mempunyai tanggungan keluarga di kampung termasuk isterinya yang adalah warganegara Malaysia berusia 56 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bahana sokong Daesh, warga Indonesia dipenjara "