• Azizulhasni Di Tangga Ke-10

    Published: Monday, 13 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Azizulhasni Awang menamatkan saingan acara keirin pada kedudukan ke-10 selepas gagal mara ke final di siri kedua Piala Dunia, Manchester, sebentar tadi.

    Ia menyebabkan dia terpaksa beraksi pada perlumbaan penentuan kedudukan tujuh hingga ke-12 dan The Pocketrocketman menjadi pelumba keempat melintasi garisan penamat.

    Terdahulu dia gagal menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba terbaik pada pusingan kedua apabila menamatkan saingan pada kedudukan terakhir sekali gus terlepas tiket ke final.

    Bagaimanapun ia boleh dianggap pencapaian yang membanggakan selepas pelumba CIMB Pro Cycling Team itu terseliuh buku lali kiri semasa siri pertama Piala Dunia di Poland minggu lalu yang secara tidak langsung ia menggangu prestasi juara keirin dunia kelahiran Terengganu berkenaan.

    Pelumba Sime Darby Foundation, Shah Firdaus Sahrom terkandas pada pusingan pertama repechage apabila gagal menjuarai saringan ketiga.

    Manakala Mohd Fadhil Zonis yang tampil buat kali pertama di pentas Piala Dunia gagal meraih tiket ke pentas final dalam acara satu kilometer ujian masa apabila melakukan catatan satu minit 04.193s pada pusingan kelayakan untuk berada pada kedudukan ke-18.

    Rakan sepasukannya, Farina Shawati Mohd Adnan pula mencatatkan 11.807s dalam acara pecut individu namun turut gagal menempatkan diri dalam kalangan 28 pelumba yang mara ke pusingan kalah mati. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Azizulhasni Di Tangga Ke-10 "