• Australia Tubuh Kumpulan Anti Pembiayaan Keganasan Di Asia Tenggara

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan baharu terdiri daripada negara-negara di seluruh Asia Tenggara bakal melumpuhkan kumpulan pengganas, sumber pembiayaan mereka, pergerakan dan penggunaan dana dan pembiayaan ekonomi mereka di rantau, kata Menteri Keadilan Australia Michael Keenan.

    Keenan, Menteri yang Membantu Perdana Menteri Australia bagi Menangani Keganasan mengumumkan penubuhan Kumpulan Kerja Membanteras Pembiayaan Keganasan Asia Tenggara (SEA CTFWG) pada Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan (CTF) anjuran Bank Negara Malaysia hari ini.

    "Kestabilan dan keselamatan Asia Tenggara sangat penting bagi Australia, dan Kerajaan Campuran komited untuk membendung ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas termasuk ISIL, di rantau ini," kata beliau pada sidang kemuncak itu yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Dalam siaran media, Keenan berkata SEA CTFWG akan secara langsung menyasarkan dan menggangu pembiayaan dana kumpulan pengganas melalui antara lain: menyekat penggunaan sistem kewangan antarabangsa yang menumpukan kepada ancaman dan isu serantau, memerangi peras ugut dan eksploitasi aset ekonomni, sumber dan penduduk serantau, menafikan pembiayaan keganasan di Asia Tenggara melalui pembiayaan dari luar dan menghalang kumpulan daripada memberikan sokongan kewangan atau material kepada ISIL dan kumpulan pengganas yang lain dan sekutu mereka.

    Beliau menegaskan bahawa SEA CTFWG akan diterajui bersama oleh agensi perisikan dan pengawal selia kewangan Australia, Australian Transaction Reports and Analysis Centre (AUSTRAC), dan Majlis Anti Pengubahan Wang Haram Filipina (AMLC) yang terdiri daripada unit-unit perisikan kewangan ASEAN yang kini beroperasi di bawah Sidang Kemuncak CTF.

    Wakil dari seluruh rantau ini telah memperakukan inisiatif penting ini, kata beliau.

    Keenan berkata penubuhan SEA CTFWG merupakan pelaburan pertama daripada pakej A$3.4 juta kerajaan Australia selama tiga tahun untuk menyokong AUSTRAC dan rakan-rakannya dalam usaha memerangi IS dan pertubuhan ekstremis yang lain di Asia Tenggara.

    "SEA CTFWG akan menyelaraskan maklumat yang dikongsi di kalangan unit-unit risikan kewangan dan agensi serantau yang lain yang mempunyai peranan dalam menangani pembiayaan keganasan.

    "Secara kolektif, perisikan yang dihasilkan melalui inisiatif ini akan membantu pihak berkuasa serantau dan rakan industri untuk lebih memahami pergerakan dan menjejaki dana bagi melindungi komuniti serta memperketat sistem kewangan kita daripada ancaman pembiayaan keganasan," kata beliau.

    Bank Negara Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Anti Pembiayaan Keganasan ketiga dengan kerjasama agensi perisikan kewangan Australia dan Indonesia.

    Sidang kemuncak selama empat hari yang bermula Isnin, menghimpunkan lebih 350 pakar dan profesional dari organisasi antarabangsa untuk berkongsi cerapan mengenai isu dan perkembangan pembiayaan keganasan terkini.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Australia Tubuh Kumpulan Anti Pembiayaan Keganasan Di Asia Tenggara "