• Aung San Suu Kyi kehilangan Freedom of Oxford kerana krisis Rohingya

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+
    Tulisan asal oleh:
    Patrick Greenfield, The Guardian, 27 November 2017

    Aung San Suu Kyi secara rasminya telah dilucutkan dari anugerah Freedom of the City of Oxford kerana tindak balasnya terhadap penindasan kaum Muslim Rohingya di negaranya.

    Majlis bandarraya Oxford sebulat suara mengundi untuk secara kekal menarik balik anugerah yang diberikan kepada ketua de facto Myanmar itu pada tahun 1997, dan berkata ia tidak mahu meraikan "orang-orang yang menutup mata terhadap keganasan".

    Ahli majlis Oxford sebelum ini mengundi untuk menyokong usul rentas parti untuk menarik balik anugerah itu, dan membuat keputusan rasmi menerusi undian pada petang Isnin.

    Undian itu adalah pada hari yang sama ketua tentera berkuasa Myanmar memberitahu Pope Francis bahawa "tidak ada diskriminasi agama" di Myanmar.

    Lebih 600,00 orang Muslim Rohingya telah dihalau meninggalkan negeri Rakhine di Myanmar barat dan mencari perlindungan di negara jiran iaitu Bangladesh melalui satu siri operasi ketenteraan, yang mana PBB telah menggambarkan sebagai "contoh sebenar pembersihan etnik".

    Cllr Mary Clarkson (Lab), yang mencadangkan usul itu, memberitahu BBC: "Oxford sudah lama dikenali sebagai bandar yang pelbagai dan berperikemanusiaan, dan reputasi kami tercemar dengan memberi penganugerahan kepada orang-orang yang menutup mata terhadap keganasan. Kami berharap hari ini kami telah menambah suara kecil kami bersama-sama mereka yang lain yang menggesa untuk hak asasi manusia dan keadilan bagi rakyat Rohingya."

    Pada tahun 2012, Suu Kyi diraikan dengan doktor kehormat dari Oxford, dan mengadakan sambutan ulang tahunnya yang ke-67 di kolej St Hugh, di mana beliau telah mempelajari politik, falsafah dan ekonomi antara tahun 1964 dan 1967.

    Tetapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini beliau telah mendapat kritikan yang semakin meningkat kerana jawapan yang diberikannya berhubung krisis kemanusiaan Rohingya. Pada bulan September, badan pentadbir St Hugh memutuskan untuk menurunkan lukisan potretnya dari pintu utamanya, beberapa hari sebelum permulaan penggal universiti dan kedatangan pelajar baru.

    Pada bulan Oktober, mahasiswa di St Hugh mengundi untuk mengeluarkan nama pemimpin Myanmar itu dari nama bilik umum junior mereka.

    Setakat ini, Oxford telah memutuskan untuk tidak menimbang semula ijazah kehormat Suu Kyi. Tetapi universiti itu telah menyatakan "keprihatinan yang mendalam" terhadap tindakan ke atas minoriti Rohingya di Myanmar.

    Pada awal bulan November, pemuzik Bob Geldof mengembalikan anugerah Freedom of the City of Dublin, yang juga dipegang oleh Suu Kyi, sebagai protes atas tindak balasnya terhadap krisis Rohingya.

    Link asal artikel:
    https://www.theguardian.com/world/2017/nov/27/aung-san-suu-kyi-loses-freedom-of-oxford-over-rohingya-crisis

    Subjects:

  • No Comment to " Aung San Suu Kyi kehilangan Freedom of Oxford kerana krisis Rohingya "