• AS-Malaysia Kerjasama Tingkat Kawalan Eksport

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    MELAKA: Agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia bekerjasama rapat bagi meningkatkan mekanisme kawalan eksport terhadap sumber barangan sensitif yang melalui pelabuhan utama negara.

    Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Dean Thompson, berkata langkah itu termasuk mengenal pasti sumber barangan sensitif seperti komponen pembuatan senjata yang dibimbangi menjurus kepada kegiatan jenayah rentas sempadan.

    "Apabila syarikat dan negara rakan lain mengetahui kawalan eksport dilaksanakan dan dipantau, mereka tidak akan mempunyai keyakinan untuk membawa masuk barangan dan teknologi mereka.

    "Bagi kerjasama memerangi keganasan, ini (kawalan eksport) adalah komponen utama," katanya katanya kepada pemberita selepas Persidangan Pendakwaan Kawalan Eksport (Akta Perdagangan Strategik) di Hotel Holiday Inn, di sini, hari ini.

    Persidangan itu turut menampilkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Jabatan Keadilan AS, Will Mackie, yang bertindak sebagai moderator serta panel jemputan Pegawai Kawalan Eksport Biro Industri dan Keselamatan AS di Singapura, Scott Anderson.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam.

    Sementara itu, Subromaniam berkata, persidangan berkenaan yang disertai semua agensi penguatkuasaan kedua-dua negara mampu memperkukuh kawalan import serta eksport barangan strategik negara dan rantau ini.

    "Semua agensi penguatkuasaan yang menyertainya (persidangan) dapat memahami kepentingan kawalan eksport barangan strategik negara mengikut Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010.

    "Ini termasuk barangan sensitif seperti membabitkan peralatan ketenteraan yang masuk ke negara ini sama ada secara import, eksport mahupun transit memandangkan Pelabuhan Klang muncul pelabuhan ke-11 paling sibuk di dunia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " AS-Malaysia Kerjasama Tingkat Kawalan Eksport "