• AS Larang Tenteranya Di Jepun Minum Arak

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    TOKYO: Tentera Amerika Syarikat di Jepun melarang semua kakitangannya mengambil minuman beralkohol selepas kes kemalangan akibat memandu dalam keadaan mabuk di pulau Okinawa, lokasi sentimen antipangkalan tentera AS kekal tinggi.

    Seorang anggota marin AS memandu kenderaannya merempuh trak mini di persimpangan semalam, menyebabkan pemandu trak berusia 61 tahun, maut.

    Suspek berusia 21 tahun ditangkap dan didakwa memandu dalam keadaan cuai yang menyebabkan kematian.

    Ujian pernafasan menunjukkan tahap alkohol tiga kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

    Semua anggota tentera AS yang berpangkalan di Jepun kini diharamkan daripada meminum minuman keras, dalam dan luar pangkalan, kata Tentera AS di Jepun dalam kenyataan.

    Di Okinawa, pergerakan anggota tentera cuma terhad di pangkalan atau rumah masing-masing.

    "Apabila anggota tentera kita gagal mencapai piawaian tinggi yang kita tetapkan untuk mereka, ia menjejaskan hubungan antara pangkalan dan penduduk tempatan dan menjadikan sukar untuk kita menamatkan misi," kata kenyataan itu.

    Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, berkata Tokyo membuat aduan segera mengenai kes itu kepada AS, menuntut ia melaksanakan disiplin tegas dan mengambil langkah pencegahan.

    "Amat dikesalkan kerana kemalangan ini berlaku walaupun kerajaan Jepun berulang kali meminta mereka melaksanakan langkah pencegahan dan menguatkuasakan disiplin," kata Suga. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " AS Larang Tenteranya Di Jepun Minum Arak "