• AS Beri Bantuan Kemanusiaan Bernilai AS$151 Juta Kepada Penduduk Rakhine

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat sudah menyediakan bantuan kemanusiaan bernilai hampir AS$151 juta kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal di dan dari Negeri Rakhine sejak awal tahun ini.

    Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Amerika Syarikat juga membabitkan kerajaan Myanmar dalam usaha untuk menangani krisis dan cabaran jangka panjang di Negeri Rakhine.

    Ini termasuk menuntut penamatan keganasan dan kekejaman besar-besaran dan menangani krisis hak asasi manusia dan kemanusiaan di Negeri Rakhine, memastikan kepulangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah.

    “Amerika Syarikat menyokong negara Myanmar yang aman, makmur dan demokratik yang menghormati hak asasi manusia semua rakyatnya. Kami sedang berusaha untuk segera menangani krisis hak asasi manusia dan kemanusiaan di Negeri Rakhine,” kata kenyataan itu.

    Ia menambah bahawa Amerika Syarikat juga berusaha untuk mempertanggungjawabkan mereka yang melakukan kekejaman besar-besaran dan perlanggaran hak asasi manusia serta penganiayaan selain menyokong kerajaan Myanmar untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Penasihat mengenai Negeri Rakhine.

    Kenyataan itu juga berkata, Amerika Syarikat sudah melatih lebih 225,000 petani dan pekebun kecil dalam teknik pertanian moden pada 2017, mengedarkan kelambu tahun lalu untuk melindungi satu juta orang di negara itu dengan tujuan untuk membasmi malaria.

    Dalam menyokong proses perdamaian nasional, kenyataan itu berkata, Amerika Syarikat sudah menyediakan lebih AS$60 juta sejak 2012 untuk memperdalam dan mengekalkan pembaharuan, dan untuk memupuk pembangunan keamanan yang sah dan inklusif serta AS$1 juta untuk melaksanakan kurikulum pendidikan perdamaian di sekolah-sekolah yang bersifat sekular dan berasaskan agama dan menjalankan penyelidikan mengenai isu agama dan etnik dalam dialog politik.

    Amerika Syarikat juga bekerjasama dengan masyarakat awam, kumpulan bersenjata etnik dan parti politik untuk membina budaya dialog dan bergerak ke arah penamatan konflik bersenjata secara inklusif dan berkekalan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " AS Beri Bantuan Kemanusiaan Bernilai AS$151 Juta Kepada Penduduk Rakhine "