• Apple Dijangka Atasi Samsung

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+

    SEOUL: Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc akan mengatasi Samsung Electronics Co dalam pasaran global telefon pintar pada suku keempat, dengan dibantu oleh prestasi iPhone X, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    Menurut data dikumpulkan pemerhati industri TrendForce, Apple dijangka menguasai 19.1 peratus pasaran dalam tempoh Oktober hingga Disember, lebih tinggi daripada jangkaan Samsung iaitu sebanyak 18.2 peratus.

    Samsung mengekalkan kedudukan teratas pada suku sebelumnya, dengan mencatatkan 21.1 peratus diikuti Apple sebanyak 11.5 peratus.

    "Pada suku ketiga, pengeluaran telefon pintar Samsung meningkat berikutan pengeluaran model Galaxy Note 8 dan kekukuhan jualan Galaxy J, yang berterusan meskipun pasaran berada pada paras sederhana dan rendah.

    "Samsung dijangka mengurangkan skala pengeluaran model mewahnya pada suku keempat, kerana model berkenaan dilihat mendapat tekanan lantaran permintaan kukuh keluaran terbaharu iPhone," kata TrendForce.

    TrendForce berkata, memandangkan pengeluaran pada suku keempat Samsung akan menurun lima peratus mencecah 77 juta unit, sebaliknya Apple akan mencapai sebanyak 81 juta unit dan iPhone X akan mengumpul satu pertiga daripada jualan.

    Menurut TrendForce, pasaran global telefon pintar pada 2018, dilihat akan beransur-ansur dalam pasaran tepu.

    Keupayaan mengawal kos komponen yang semakin meningkat dan meluaskan pasaran di luar negara menjadi faktor utama mempengaruhi prestasi jualan jenama masing-masing. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Apple Dijangka Atasi Samsung "