• Anni Cari Keluarga Berasal Dari Serian

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    GOMBAK: Ditipu agensi pekerjaan menyebabkan seorang lelaki cacat pendengaran menjadi gelandangan di ibu kota.

    Mangsa, Anni anak Gunek, 50, terpaksa mengharap belas ihsan orang ramai selepas merantau dari Serian, Sarawak.

    Dia dikatakan datang ke semenanjung kira-kira enam tahun lalu untuk bekerja sebagai buruh binaan di Linggi, Negeri Sembilan.

    Bagaimanapun sebaik tamat kontrak pembinaan, Anni hilang arah tuju sebelum mengikut kawan ke ibu kota dan menjadi gelandangan di sekitar Wangsa Maju.

    Keadaan Anni mendapat perhatian seorang pemilik kedai dobi, Shapiin Hassan, 64 yang memberikannya tempat berlindung, pekerjaan dan cuba mencari keluarga Anni yang dikatakan berada di Serian.

    Menurut Shappin, dia sebelum ini menemui Anni merayau-rayau di sekitar kawasan kedai di Taman Melati di sini, dan tidur di kaki lima premis berbantalkan beg pakaian.

    Prihatin dengan nasib Anni, dia memberikan lelaki itu tempat berlindung dan pekerjaan sebagai pembantu di kedai dobi miliknya sejak enam tahun lalu.

    “Dia mempunyai kesukaran untuk bercakap dan pendengaran serta menghadapi masalah ingatan.

    “Kami cuba mencari keluarganya dengan menyebarkan maklumat melalui laman sosial Facebook (FB) tetapi masih gagal,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

    Wartawan cuba menemu bual Anni, tetapi perkataannya kurang jelas dan hanya mengingati berasal dari etnik Dayak di Serian.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Anni Cari Keluarga Berasal Dari Serian "