• Anja, Ariff gagal ke Olimpik Musim Sejuk 2018

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Misi ratu luncur ais negara Anja Chong dan Ariff Rasydan untuk merebut slot ke Olimpik Musim Sejuk 2018 terkubur di bumi Seoul, Korea Selatan apabila gagal meraih kedudukan baik dalam pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia ISU yang melabuhkan tirainya, hari ini.

    Ketika Anja dilihat lebih berpeluang, catatan 0:48.090 saat dalam pusingan awal 500 meter (m) tidak cukup untuk melonjakkan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 itu ke dalam kelompok terbaik apabila sekadar meraih tempat ke-53.

    Keputusan itu menyaksikan Anja, 23, hanya berpuas hati di kedudukan ranking ke-52 selepas mengutip lima mata daripada empat pusingan Piala Dunia ISU dengan hanya 32 peluncur terbaik meloloskan diri ke Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan.

    Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) Fadzil Johan ketika ketika dihubungi sebentar tadi.

    "Ya, memang dua wakil kita gagal layak ke Olimpik Musim Sejuk 2018, walaupun Anja dilihat masih berpeluang kerana berada dalam senarai menunggu tetapi mustahil untuknya layak," kata Fadzil.

    Untuk layak ke Olimpik secara automatik, seseorang peluncur itu perlu berada dalam kalangan 32 peluncur terbaik tetapi Anja masih berpeluang kerana setiap negara hanya boleh menghantar tiga wakil.

    "Katakan ada negara yang mempunyai lebih tiga wakil meraih slot itu, bermakna nama keempat itu secara automatik akan tersingkir dan tempatnya itu diambil atlet dalam senarai menunggu.

    "Tetapi dalam kes Anja, ia begitu sukar kerana dia gagal menempatkan diri dalam kelompok 50 terbaik, jadi secara tak langsung memang sudah gagal layak," kata Fadzil.

    Seorang lagi wakil negara, Ariff pula pasti gagal layak selepas hanya menutup kempen di ranking ke-95 dalam acara 1,500m, 500m (86) dan 1,000m (87).

    Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai dua wakil yang akan beraksi dalam Olimpik Musim Sejuk 2018 iaitu Julian Yee (Figure skater) dan peluncur ski, Jeffrey Webb. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Anja, Ariff gagal ke Olimpik Musim Sejuk 2018 "