• Angin Kencang Hingga Esok

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), pagi ini, mengeluarkan amaran angin kencang kategori kedua di perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan sehingga esok.

    Jangkaan itu turut membabitkan perairan Mukah, Bintulu dan Miri, Sarawak serta Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah.

    Amaran untuk kegiatan perkapalan itu susulan amaran kategori pertama yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.

    MetMalaysia, dalam satu kenyataan, berkata perairan berkenaan dijangka dilanda angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

    "Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya.

    MetMalaysia turut menjangka angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak sehingga 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah dan Labuan sehingga esok.

    Selain itu, ribut petir dijangka berterusan di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Bintulu serta Miri, Sarawak sehingga pagi ini.

    MetMalaysia berkata, keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj, laut bergelora dengan ombak sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

    Sementara itu, sehingga 12.02 tengah malam tadi, tiada amaran cuaca buruk dan hujan lebat dikeluarkan.

    MetMalaysia turut mengesan lekukan Tropika, jam 2 pagi tadi, kira-kira 159 km ke 362 km ke Tenggara Manila, Filipina.

    "Pergerakan lekukan Tropika ke arah Barat dengan kelajuan 35km/j. Jarak dari bandar terdekat kira-kira 712 km ke Timur Laut Pitas, Sabah.

    "Tiada kesan signifikan terhadap Malaysia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Angin Kencang Hingga Esok "