• Anak Derhaka Dah Jadi Pembunuh

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    Bapa yang dipukul oleh anaknya menggunakan gergaji dan penimbang air di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok, Jitra, semalam disahkan meninggal dunia hari ini.

    Mohd Tarmizi Abdul Hamid, 67, meninggal dunia kira-kira 1 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB memaklumkan kematian mangsa.

    Beliau berkata, ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan ke atas mayat mangsa bermula 8.30 pagi tadi di Jabatan Forensik HSB.

    "Kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) ditukar ke Seksyen 302 KK," katanya ketika dihubungi.

    Dalam kejadian 11 pagi semalam, Mohd Tarmizi dan isterinya, Tom Wahid, 64, dipukul oleh anak lelaki mereka yang disyaki penagih dadah ketika itu berada di rumah mereka di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok.

    Harian Metro semalam melaporkan sebelum kejadian wanita itu memasak di dapur sebelum didatangi anak lelakinya yang berusia 28 tahun.

    Lelaki itu memarahi ibunya kerana melaporkan kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkenaan kes dia ditahan sebelum ini.

    Dia mengamuk dan mengambil gergaji lalu memukul ibunya menyebabkan mangsa luka pada pipi kanan dan bahu disyaki terkena senjata tajam itu serta lebam di seluruh badan akibat dipukul.

    Selain itu dia turut menyerang bapanya sehingga menyebabkan luka di perut.

    Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah.

    Suspek ditahan polis di lokasi kejadian dan polis turut merampas barangan kes termasuk gergaji dan alat penimbang air untuk membantu siasatan.

    Difahamkan ibu suspek kini masih dirawat di hospital akibat kecederaan yang dialami.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Derhaka Dah Jadi Pembunuh "