• Anak buah Hodak benam Indonesia

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun negara (B-19) mencerahkan peluang layak ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia, tahun depan selepas mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dengan menewaskan Indonesia 4-1 di Paju, Korea Selatan hari ini.

    Skuad kendalian Bojan Hodak kini mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga aksi Kumpulan F dan jika berjaya mengalahkan Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan Rabu ini, mereka akan muncul juara sekali gus layak secara automatik beraksi bersama 15 lagi pasukan terbaik Asia lain.

    Namun jika tewas, skuad negara masih berpeluang kerana mereka kini berada di posisi terbaik untuk muncul sebagai lima pasukan naib juara terbaik di pusingan kelayakan.

    Selepas mudah meraih dua kemenangan ke atas Timor Leste 3-1 dan Brunei 1-0 sebelum ini, skuad muda negara turun dengan misi wajib menang dengan Hodak membariskan pasukan terkuatnya selepas merehatkan pemain utama ketika menentang Brunei, dua hari lalu.

    Skuad negara tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila penyerang tinggi lampai, Hadi Fayyadh Abdul Razak tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ketujuh selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat dijatuhkan dalam kotak penalti lawan.

    Nik Akif sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada benteng pertahanan Indonesia apabila hantaran cantiknya berjaya disambut Akhyar Rashid untuk menolak mudah menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-34.

    Skuad muda Garuda yang tewas 0-4 kepada Korea Selatan dalam aksi ketiga Sabtu lalu, bagaimanapun merapatkan kedudukan pada minit akhir babak pertama menerusi sentuhan Hanis Saghara Putra yang memanfaatkan kesilapan tonggak pertahanan negara.

    Menyedari hanya kemenangan mampu mencerahkan laluan ke pusingan akhir, anak buah Hodak terus menekan kubu lawan sebaik permainan bersambung dan hasilnya tonggak pertahanan tengah negara, A Shivan Pillay berjaya melebarkan kedudukan menerusi tandukan di minit ke-47.

    Belum pun sempat Indonesia memperkemaskan aksi mereka, kem negara terus ceria menerusi gol keempat lima minit kemudian hasil sepakan penalti Hadi Fayyadh yang juga gol keempatnya dalam kejohanan ini sekali gus keputusan 4-1 kekal hingga tamat permainan.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " Anak buah Hodak benam Indonesia "