• Anak 1 Tahun Koma Dibelasah Ibu

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+

    KEPALA BATAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun, koma selepas mengalami pendarahan otak dipercayai akibat didera ibunya sendiri di rumah mereka di Paya Lahar Kepah, dekat sini, Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis mendapat maklumat dari pihak Hospital Kepala Batas (HKB) yang memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mempunyai kesan lebam di badan, dahi serta pipi.


    Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, Khamis lalu, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    "Suspek sebelum itu memaklumkan anaknya terjatuh kira-kira jam 4.30 petang, Rabu lalu dan dahinya lebam akibat terhantuk di lantai ruang tamu ketika bermain.

    "Melihat keadaan mangsa yang lemah, bapanya kemudian membawa kanak-kanak itu ke HKB dan doktor yang melakukan pemeriksaan mengesyaki mangsa didera," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

    Difahamkan, kanak-kanak itu diperiksa di Hospital HKB sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kini di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

    Noorzainy berkata, kanak-kanak itu masih berada dalam keadaan koma dan memerlukan pemantauan rapi.

    Suspek yang dikatakan mempunyai masalah mental, direman 14 hari sehingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Anak 1 Tahun Koma Dibelasah Ibu "