• Alonso Prinsipal Pasukan eSport

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    ABU DHABI: Juara dunia dua kali, Fernando Alonso muncul pemandu Formula Satu (F1) pertama melancarkan pasukan lumba maya eSport.

    Pelumba 36 tahun yang memandu untuk McLaren itu melancarkan pasukan FA Racing G2 Logitech G pada perlumbaan penutup musim di Grand Prix Abu Dhabi semalam.

    "Akhirnya saya bergelar prinsipal pasukan," kata pelumba Sepanyol itu.

    "Cukup menarik dan sesuatu yang baharu untuk diteroka."

    Pasukan berkenaan adalah hasil kerjasama G2 eSports dan penaja McLaren, Logitech dan akan ditampilkan dalam beberapa siri permainan, konsol serta komputer, selain pertandingan sedia ada.

    Minggu ini McLaren melantik pemain permainan video sebagai pemandu simulator rasmi mereka, selepas menganjurkan pertandingan 'Pemain terpantas dunia' dan muncul pasukan pertama mempunyai pengarah eSports.

    Di Abu Dhabi hujung minggu ini juga akan menyaksikan juara sulung siri dunia eSport F1 dinobat selepas final di litar Yas Marina.

    Pasukan Alonso juga sudah mengikat salah seorang finalis, Cem Bolukbasi dari Turki.

    "Setiap pemandu F1 juga pemain permainan video," kata Alonso.

    "Bertanding di pentas maya membuka pelbagai kemungkinan buat pemandu muda yang tidak mempunyai peluang menyertai perlumbaan sebenar." - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Alonso Prinsipal Pasukan eSport "