• Alahai, Tapir Lagi...

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    Tapir seberat 100 kilogram mati dirempuh Perodua Axia di Kilometer 281, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Plaza Tol Chukai, hari ini.

    Dalam kejadian 6.15 pagi, tapir yang keluar dari kawasan hutan berhampiran itu dipercayai cuba melintas jalan sebelum dilanggar kereta terbabit.

    Difahamkan, akibat kemalangan itu, kereta dinaiki empat lelaki itu berpusing sebelum terbalik.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Cheneh, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Sabari Taib berkata, sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian.

    Katanya, sejurus tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati tapir itu dilanggar kereta dinaiki empat individu.

    "Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit berpusing dan terbalik, bagaimanapun semua mangsa iaitu Mohd Syawal Rashid, 26, Mohd Hanif Ghazali, 25, Mohd Al Hakim Johari, 24, dan Mohd Nazri Mohd Nuri, 22, hanya cedera," katanya.

    "Setibanya di lokasi kejadian, kami dapati semua mangsa sudah berada di luar kenderaan. Anggota bomba kemudian mengalihkan bangkai tapir itu ke tepi lebuh raya bagi mengelakkan ia daripada dilanggar kenderaan lain," katanya.

    Mohd Sabari berkata, semua mangsa yang bekerja di Johor Bahru, dikatakan dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung mereka di Kelantan.

    "Semua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Cheneh untuk menerima rawatan lanjut," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Alahai, Tapir Lagi... "