• Ahmad Zahid Kagum Kerjasama Semua Pihak Tangani Banjir

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+
    KULIM, 6 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan perasaan kagumnya terhadap kerjasama semua pihak di Pulau Pinang dan Kedah dalam menguruskan bencana banjir yang berlaku di dua negeri berkenaan.

    Tanpa kerjasama itu tidak mungkin pihak terbabit dapat menangani bencana itu dengan baik terutama dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terjamin, katanya, yang menyebut kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kerjasama agensi negeri dan Persekutuan, serta kerjasama baik antara semua NGO sebagai antara faktor utama kejayaan itu.

    "Saya sangat kagum dan mereka bertindak sebagai satu pasukan yang mantap dan tersusun," katanya ketika berucap pada majlis bersama mangsa banjir daerah Kulim di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din.

    Sebelum itu Ahmad Zahid mendengar taklimat ringkas mengenai keadaan banjir di Kedah yang disampaikan Bakar.

    Timbalan perdana menteri berkata bencana banjir tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan isu politik dan disebabkan itu, kerajaan Persekutuan tetap menghulurkan segala bantuan terhadap mana-mana negeri tanpa melihat perbezaan politik.

    "Bila banjir berlaku paling penting kena reda dan kesiapsiagaan itu kena kita terjemahkan," kata Ahmad Zahid, yang kemudiannya menyampaikan sumbangan bantuan bencana kepada kira-kira 450 mangsa banjir daerah ini.

    Sementara itu, ketika mendengar taklimat berhubung keadaan banjir yang berlaku di sekitar daerah ini yang disampaikan Pegawai Daerah Kulim Mohamad Che Nai hari ini, beliau mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta bagi kerja menaik taraf sistem saliran dan perparitan yang rosak akibat banjir di sekitar daerah Kulim.

    Sesi taklimat itu susulan lawatan Ahmad Zahid ke kawasan terowong air bawah tanah yang pecah hingga meruntuhkan sebahagian jalan berdekatan rumah penduduk di sekitar Jalan Selasih 5 di Taman Selasih di sini akibat hujan lebat Sabtu lepas.

    Semasa menyampaikan taklimat itu, Mohamad berkata RM1.5 juta diperlukan untuk kerja membaik pulih terowong air bawah tanah dan parit yang rosak akibat banjir di Taman Angsana hingga sekitar kawasan kolam Taman Semarak sepanjang 2 kilometer di sini.

    Kata Mohamad, sebanyak RM500,000 lagi diperlukan untuk melaksanakan kajian fizikal berhubung terowong berkenaan.

    Setakat pukul 3 petang ini, sejumlah 2,614 mangsa banjir ditempatkan di lebih 20 pusat pemindahan banjir di Kedah, membabitkan 748 buah keluarga dari daerah Yan, Kuala Muda dan Kulim. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ahmad Zahid Kagum Kerjasama Semua Pihak Tangani Banjir "