• Ahli Politik Indonesia Buat 'Drama' Di Hospital

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+
    JAKARTA: Speaker parlimen Indonesia yang dikaitkan kes rasuah bernilai AS$170 juta (RM706.86 juta), dirawat di hospital hari ini selepas drama luar biasa di mana dia mendakwa cedera dalam nahas kereta susulan kegagalan serbuan ke atas kediaman mewahnya.

    Berita itu menguasai tajuk muka depan dan siaran berita minggu ini di negara Asia Tenggara yang dilingkari rasuah, di mana gambar menunjukkan Setya Novanto dalam kesakitan terbaring di katil hospital ibu kota ini bersama tiub ubat pada hidungnya.

    Pengkritik menyelar Setya, menuduhnya cuba mengelak pegawai anti-rasuah yang mahu menyoalnya dalam satu daripada skandal rasuah terburuk Indonesia.

    "Tindakan seperti ini membuatkan orang menyoal segala-galanya, bagaimana seorang pemimpin memiliki sedikit maruah?

    "Pemimpin perlu mematuhi undang-undang dan dipercayai orang ramai. Jika mereka melarikan diri seperti ini, bagaimana mereka boleh dipercayai?" kata Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, anggota Golkar, parti politik kedua terbesar diketuai Setya.

    Malam kelmarin, pegawai daripada Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) menyerbu kediaman Setya yang bernilai jutaan dolar di kawasan mewah ibu kota ini, terkenal dengan jurang ekstrem antara golongan kaya dan miskin.

    Namun Setya gagal ditemui, mencetuskan pencarian meluas ibu kota ini di tengah kebimbangan dia meninggalkan Indonesia.

    Ahli politik berusia 62 tahun itu diletakkan dalam senarai paling dikehendaki Indonesia sebelum muncul di hospital semalam, susulan dakwaan terbabit dalam kemalangan, walaupun tiada tanda kecederaan serius.

    Pihak berkuasa mahu menyoalnya berhubung dakwaan dia dan ahli politik lain menggelapkan jutaan dolar dana awam dikaitkan dengan projek negara yang mengeluarkan kad pengenalan baharu kepada 255 juta penduduk republik ini.

    Dakwaan awal tahun ini mencetuskan kejutan meluas walaupun dengan status sebagai satu daripada negara paling teruk dihimpit rasuah di dunia.

    Peguam Setya menegaskan hari ini, anak guamnya bukan enggan mengelak disoal, mengatakan dia 'amat, amat lemah' dan bimbang akan dilayan secara tidak adil oleh badan anti-rasuah.

    "Dia enggan didakwa. Dia mempunyai hak dilayan menurut undang-undang," kata peguamnya, Fredrich Yunadi.

    Setya berdepan dakwaan rasuah sebelum ini termasuk kes di mana dia direkodkan cuba memeras wang daripada unit tempatan Freeport-McMoRan sebagai pertukaran untuk melanjutkan hak pelombong syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu bagi beroperasi di negara ini. Dia bagaimanapun terlepas daripada didakwa. -AFP/BH

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Politik Indonesia Buat 'Drama' Di Hospital "