• Ahli Perniagaan Koma Kena Tembakan Di Leher

    Published: Saturday, 25 November 2017
    A- A+


    KUANTAN: Seorang ahli perniagaan cedera parah selepas terkena satu das tembakan di leher oleh penjenayah yang memecah masuk gudangnya di Kampung Jaya Gading, di sini pada Sabtu.

    Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun telah terserempak dengan tiga penjenayah yang memecah masuk gudang rokoknya dan berlaku pergelutan sebelum seorang daripada penjenayah itu melepaskan tembakan ke arahnya.

    Mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dilaporkan berada dalam keadaan koma.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menurutnya polis berjaya menahan tiga suspek berkenaan kira-kira dua jam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Dua suspek berjaya ditahan di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan dekat Bukit Rangin manakala seorang lagi suspek ditahan di bandar ini antara jam 8 pagi hingga 9 pagi tadi," katanya.

    Abdul Aziz berkata siasatan polis di tempat kejadian turut menemukan beg duit dipercayai milik seorang daripada penjenayah yang dipercayai tercicir semasa pergelutan itu.

    Beliau berkata polis akan mengadakan sidang media berhubung kejadian itu dalam masa terdekat. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Perniagaan Koma Kena Tembakan Di Leher "