• Ahli Pediatrik Perlu Dilatih Dalam Bidang Penjagaan Neonatal

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata terdapat keperluan untuk melatih lebih ramai ahli pediatrik dalam bidang penjagaan neonatal memandangkan kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan hospital ibu dan anak di seluruh negara.

    Beliau berkata hampir 30,000 bayi lahir secara pramatang setiap tahun dan oleh itu ramai pakar neonatologi diperlukan bagi menangani cabaran itu.

    Neonatologi ialah satu bahagian bidang pediatrik berkaitan rawatan untuk bayi baru lahir terutamanya bayi yang sakit teruk atau yang tidak cukup bulan.

    "Kami mempunyai 36 pakar neonatologi di seluruh negara...oleh itu ahli pediatrik perlu dilatih dalam bidang penjagaan neonatal bagi mengendalikan bayi pramatang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Neonatologi Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

    Terdahulu, Dr Subramaniam, dalam ucaptama pada persidangan itu, berkata kementeriannya berharap untuk menugaskan seorang jururawat kepada setiap satu bayi pramatang bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan disebarkan dalam kalangan bayi.

    “Apabila seorang jururawat menjaga terlalu banyak bayi, jangkitan dengan mudah boleh merebak. Bagi mengurangkan risiko jangkitan lebih ramai jururawat diperlukan, justeru melatih jururawat dalam bidang ini adalah sangat penting,” katanya.

    Dr Subramaniam juga berkata kemudahan Hospital Ibu dan Anak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah siap dan tiga lagi hospital berkenaan akan dibangunkan di Pahang dan Putrajaya manakala satu lagi sedang dalam pembinaan di Pulau Pinang.

    Katanya, jumlah anggaran kos setiap hospital berkenaan adalah antara RM300 juta dan RM400 juta.

    Dr Subramaniam berkata sistem penjagaan kesihatan ibu dan anak di negara ini cukup baik tetapi menyatakan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dengan salah satunya melalui penubuhan lebih banyak hospital neonatal.

    Persidangan tiga hari itu menghimpunkan pakar pediatrik dan neonatologi dari seluruh dunia dan ia dianjurkan bersempena dengan Hari Pramatang Sedunia yang disambut pada 17 Nov setiap tahun.

    Bertemakan ‘Penyelesaian, Etika, Bukti dan Kontroversi Neonatologi', persidangan itu dirasmikan oleh Penaung Persatuan Perinatal Malaysia (PPM), Datuk Seri Raja Eleena Sultan Azlan Shah.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Pediatrik Perlu Dilatih Dalam Bidang Penjagaan Neonatal "