• Ahli Parlimen Tak Hadir Dewan Dikenakan Tindakan - TPM

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tindakan dalaman telah diambil terhadap Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu yang menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga telah menasihatkan anggota Parlimen BN supaya lebih serius untuk menghadiri sesi Dewan Rakyat.

    "Yang penting kita menang tetapi sebenarnya saya telah ambil tindakan...tindakan dalaman. Saya telah menasihatkan mereka, mereka harus lebih serius hadiri persidangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan makanan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh di perkarangan Parlimen, Rabu.

    Persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian berkenaan.

    Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

    Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan itu sebelum ia berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

    Sementara itu, misi bantuan hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat Halal Industry Development Corporation (HDC) berkenaan akan menghantar sebanyak 25 tan makanan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang beroperasi di kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

    Syarikat-syarikat multinasional seperti F and N Marketing Sdn Bhd, Nestle (M) Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad dan Fortune Lab Sdn Bhd merupakan antara penyumbang barang makanan bagi misi itu.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee yang akan mengetuai misi bantuan itu berkata seramai 12 anggota Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang akan turut serta dalam misi tersebut."Kita (misi) akan bertolak ke Chittagong Jumaat ini dan menuju ke khemah Cox's Bazar," katanya.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Parlimen Tak Hadir Dewan Dikenakan Tindakan - TPM "