• Ahli Parlimen DAP Diarah Keluar Dewan Rakyat

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dari DAP diarah keluar apabila berterusan melanggar peraturan Parlimen.

    Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada kira-kira jam 5.30 petang tadi.

    Kekecohan ketika Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J Loga Bala Mohan sedang menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya.

    Ketika penggulungan itu, Loga berkata pihaknya dimaklumkan ada banyak operator pusat perjudian di kawasan Cheras menggunakan nama Ahli Parlimen Cheras.

    "Kami mendapat tahu banyak operator pusat perjudian di kawasan Cheras menggunakan nama Yang Berhormat Cheras kerana mereka ini kroni," katanya, menyebabkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng terus bangun mencelah dan menyifatkan kenyataan itu sebagai tohmahan, selain mencabar Loga mengulanginya di luar Dewan Rakyat.

    Kok Wai turut mencelah dan meminta Ronald mengarahkan Loga menarik balik kenyataan itu, sebelum keadaan kecoh dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut bangun mencelah.

    Ronald kemudian mengingatkan Loga supaya tidak menyebut sesuatu yang merujuk pada sifat individu Ahli Parlimen, sebelum Kok Wai yang tidak berpuas hati sekali lagi mencelah dan mencabar Loga mengulangi kenyataan di Luar Dewan.

    "Tarik balik! Saya tidak akan duduk," kata Kok Wai, sebelum Ronald menyambung tegurannya dan mengarahkan Loga menarik balik kenyataan berkenaan.

    Loga menjelaskan, dia tidak menuduh Ahli Parlimen Cheras berbuat demikian, sebaliknya menyebut perkara yang dimaklumkan oleh pihak luar. Ronald menerima penjelasan itu serta memintanya meneruskan penggulungan.

    Kok Wai bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan berkeras mahu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu menarik balik kenyataannya dan bertegang urat dengan Ronald.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu kemudian terpaksa mengarahkan Kok Wai keluar daripada Dewan Rakyat kerana terus berdegil dan mengganggu urusan mesyuarat.

    Pengerusi baharu DAP itu juga hampir dihalau keluar Dewan Rakyat pada sesi lebih awal apabila enggan menarik balik dakwaannya menuduh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai 'menteri korup' ketika membahaskan RUU Perbekalan 2018 peringkat Jawatankuasa kira-kira jam 4 petang.

    Selepas berlaku kekecohan antara Ahli Parlimen BN dan pembangkang serta arahan tegas daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Kok Wai akhirnya akur dan menarik balik dakwaan itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ahli Parlimen DAP Diarah Keluar Dewan Rakyat "