• Agenda perangi dadah- TN50

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Agenda memerangi dadah adalah antara aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat.

    Beliau berkata, aspirasi itu diperoleh berdasarkan dapatan awal kajian kluster keselamatan TN50 yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Katanya, kajian itu menunjukkan empat peratus daripada 5,000 responden mahu najis dadah diperangi habis-habisan menjelang tahun 2050.

    "Aspirasi itu tidak lain mahu mewujudkan persekitaran yang lebih terjamin.

    "Sehubungan itu, KDN melalui Agensi Antidadah Negara (AADK) sedang merangka pelan strategik pelaksanaan Dasar Dadah Negara.

    "Kita juga akan pastikan dasar itu dilaksanakan secara komprehensif," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Seramai 702,319 orang ditangkap atas kesalahan dadah dari 2014 hingga Oktober lalu.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) berhubung dasar kerajaan dalam memerangi penyalahgunaan dadah.

    Ahmad Lai juga bertanya, adakah agenda menghapuskan najis dadah disertakan sebagai antara aspirasi menjelang TN50.

    Mengulas lanjut Dasar Dadah Negara, Masir berkata, ia mengandungi lima teras utama iaitu pencegahan; rawatan dan pemulihan; penguatkuasaan; kerjasama antarabangsa dan pengurangan kemudaratan.

    Justeru, KDN menyediakan pelan komunikasi Dasar Dadah Negara sebagai medium menyampaikan maklumat kepada agensi terbabit termasuk penganjuran program di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Agenda perangi dadah- TN50 "