• Afdlin sebak dengan keperitan pelarian Rohingya

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR 8 Nov. - Lima hari menyertai misi keamanan ke kem pelarian Kutupalong di Ukhia, Bangladesh, pelakon dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki, 46, menginsafi setiap momen yang dilaluinya apabila menyaksikan keperitan yang dialami oleh pelarian Rohingya.

    Afdlin mengakui pengalaman yang ditempuhi sepanjang berada di sana sejak Ahad lalu benar-benar meruntun jiwanya sebagai seorang manusia dan Muslim.

    “Sebak rasanya melihat rutin kehidupan mereka hari-hari. (Kekurangan) Dari sudut makanan, pakaian, perubatan, semua sekali. Amat menyedihkan dan menginsafkan.

    “Apatah lagi sebelum wujudnya kem-kem pelarian di sini, saya difahamkan mereka tinggal di kaki lima, tepi-tepi jalan, bawah pokok atau di mana sahaja asalkan boleh berlindung dan merehatkan diri,” katanya kepada Utusan Online.

    Menurut Afdlin, pemergiannya ke kem tersebut untuk menyalurkan bantuan dengan kerjasama antara Yayasan Afdlin Shauki (YAS) bersama-sama Yayasan Kubra dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bermula 5 hingga 9 November ini.

    Tambah pengacara dan penerbit Super Spontan itu lagi, apabila menyaksikan kepayahan tersebut, dia memanjatkan rasa syukur apabila dapat hidup aman damai di Malaysia dan menyeru rakyat negara ini agar sentiasa menjaga keamanan.

    “Sekarang ini, kita terlalu leka dengan keamanan yang diperoleh sejak lahir sehingga terlupa kesengsaraan orang lain. Apatah lagi sesama Muslim.

    “Jadi hargailah keamanan dan kedamaian yang kita ada di negara sendiri. Saya juga berharap supaya wujud banyak lagi usaha dalam menghulurkan bantuan ke kem-kem pelarian di seluruh dunia. Mereka amat memerlukan kita.

    “Inilah masanya untuk kita menunjukkan keprihatinan sebagai masyarakat bumi. Ambil tahu kesusahan mereka, sekali gus boleh memotivasikan diri dalam menangani masalah peribadi yang tidak sebesar mana berbanding rakyat Rohingya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Afdlin sebak dengan keperitan pelarian Rohingya "