• Adun Semerah Ditegur Gara-Gara Komen 'Bulu Dada'

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+

    ISKANDAR PUTERI: Speaker Johor Tan Sri Mohamad Aziz menegur seorang wakil rakyat kerana mendakwa seorang wanita warga emas di kawasannya berkahwin dengan seorang lelaki warga asing gara-gara 'bulu di dadanya'.

    Beliau memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mohd Ismail Roslan bahawa keadaan bulu pada dada lelaki berkenaan tiada kena-mengena dengan perkahwinan pasangan itu.

    "Mungkin ini hanya berlaku di kawasan anda dan jika anda tiada soalan tambahan, sila duduk," katanya semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dekat sini Selasa.

    Terdahulu, Mohd Ismail bertanya kepada jawatankuasa agama negeri, Mutalip Abd Rahman sama ada negeri itu mempunyai sebarang dasar mengenai perkahwinan antara wanita warga emas beragama Islam dengan lelaki warga asing.

    "Saya teringat kes di mana seorang wanita tempatan berusia 65 tahun berkahwin dengan lelaki warga asing berusia 35 tahun yang mempunyai bulu di dada.

    "Dia kini mempunyai sebuah kedai, sentiasa tidur di permis perniagaan dan tidak pernah pergi kepada isterinya," kata Mohd Ismail.

    Mutalip berkata Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mempunyai dasar untuk perkahwinan antara penduduk tempatan dan juga warga asing.

    "Terdapat banyak proses perlu dilalui seorang lelaki warga asing sebelum dibenarkan berkahwin dengan wanita tempatan, termasuk mendapat persetujuan daripada jabatan agama negara asalnya, pengesahan Jabatan Imigresen, ujian HIV dan persetujuan dari kedutaan mereka," katanya.

    Mutalip bagaimanapun berkata JAIJ sedang mengkaji untuk menyediakan sesi kaunseling terhadap pasangan seperti kes itu untuk mengelak masalah tidak diingini berlaku di kemudian hari.- Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Adun Semerah Ditegur Gara-Gara Komen 'Bulu Dada' "