• Adenan Diingati Kerana Dasar Berpaksikan Rakyat

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+
    KUCHING, 14 Nov (Bernama) -- Walaupun selepas pemergiannya 10 bulan yang lalu, Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) masih diingatii kerana dasar 'berpaksikan rakyat' yang diamalkan semasa menjadi ketua menteri Sarawak.

    Perasaan seperti itu jelas terbayang di kalangan anggota dewan undangan negeri (ADUN) (BN dan pembangkang) yang menghadiri persidangan dewan undangan negeri.

    David Wong (DAP-Pelawan) berkata antara sumbangan paling penting oleh Adenan ialah menyemak semula struktur tarif elektrik bagi sektor domestik, komersial dan industri bagi menampung kenaikan kos sara hidup rakyat.

    Beliau juga memuji Allahyarham kerana memansuhkan cukai tanah untuk tanah pertanian dan tanah kediaman yang memberi impak besar kepada rakyat.

    "Semasa berkhidmat sebagai ketua menteri, beliau telah melaksanakan dasar mesra rakyat. Beliau telah memenangi hati (rakyat Sarawak) terutama di kawasan bandar melalui langkah-langkah seperti pemansuhan tol untuk jambatan, memesatkan pembangunan di kawasan pinggir bandar serta mengurangkan pembayaran premium bagi tanah pertanian dan kediaman.

    "Ini adalah kepimpinan yang rakyat Sarawak menaruh kepercayaan dan bersedia untuk bekerjasama," kata Wong ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2018" semasa persidangan dewan undangan negeri Sarawak di sini hari ini.

    Wong jelas membandingkan gaya kepimpinan Adenan dengan kepimpinan ketua menteri sekarang Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    "Tetapi melalui kepimpinan ketua menteri yang baharu, kita tidak lagi melihat dasar ini," kata beliau.

    Beliau mendakwa Abang Johari lebih cenderung menarik perhatian rakyat mengenai ekonomi digital dan e-dagang, internet berkelajuan tinggi, projek LRT dan Sarawak Pay tetapi lupa bahawa Sarawak memerlukan kerajaan penyayang yang menjaga kebajikan rakyat terutama golongan miskin dan mereka yang kurang bernasib baik sebelum melaksanakan agenda lain. -- BERNAMA
  • No Comment to " Adenan Diingati Kerana Dasar Berpaksikan Rakyat "