• Adam Sambar Petak Ke-12 GP Valencia

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Selepas bergelut ketika sesi ujian bebas, pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin membuktikan dia semakin matang apabila menghasilkan keputusan positif pada sesi kelayakan perlumbaan Grand Prix Valencia, hari ini.

    Pelumba pasukan SIC Racing itu mencatat masa 1 minit 39.615 saat bagi menyambar petak ke-12 ketika sesi kelayakan selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ke-24 pada ujian bebas terakhir sebelum itu.

    Adam yang mengaku Valencia bukan litar kegemarannya berkata, dia memerlukan masa untuk mendapatkan rentak.

    "Saya bergelut ketika ujian bebas ketiga tetapi saya sedar kami mempunyai jentera yang baik dan tidak akan rugi apa-apa," kata pelumba berusia 19 tahun itu.

    "Saya tidak terlalu agresif pada awal sesi kelayakan tetapi memasuki hujung saingan saya berikan semua yang saya ada selepas menukar tayar. Apa pun saya gembira dengan keputusan ini," katanya.

    Adam yang bersaing untuk musim kedua dalam saingan Moto3 berkata, dia menjangkakan perlumbaan yang sukar esok kerana semua pelumba pastinya mahu menyerlah kerana ia adalah perlumbaan terakhir musim ini.

    "Sudah pasti saya perlu bersaing dengan sengit untuk kekal dalam kelompok depan, ini adalah perlumbaan terakhir dan semua pelumba mahu mengutip mata untuk menamatkan saingan musim dengan keputusan positif," katanya.

    Sementara itu, rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki yang menyifatkan Valencia sebagai salah satu litar terbaiknya mencatat masa ketujuh terpantas dengan catatan 1:39.492s. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Adam Sambar Petak Ke-12 GP Valencia "