• Abang Long Fadil 2 Kutip RM700,000 Di Terengganu

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+


    Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang menyumbangkan kutipan tiket dan penonton terbesar untuk filem Abang Long Fadil 2 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM700,000.

    Filem terbitan Skop Production Sdn Bhd arahan Syafiq Yusof yang ditayangkan di 70 pawagam memecah rekod box office tertinggi bagi filem tempatan dengan kutipan sebanyak RM18.1 juta sejak ditayangkan 24 Ogos lalu.

    Kejayaan LFS Kuala Terengganu itu dilakarkan berikutan sokongan peminat filem tempatan bukan sahaja datang dari negeri ini, malah dari Kelantan.

    Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata pihaknya kini dalam perancangan untuk menerbitkan Abang Long Fadil 3 yang kos pembikinannya dijangka sebanyak RM4 juta.

    Katanya, penggambaran Abang Long Fadil 3 akan bermula tahun depan selepas tayangan satu lagi filem arahan Syafiq Yusof iaitu KL Special Force pada Mac 2018.

    "Pembikinan filem Abang Long Fadil 3 dijangka menelan belanja lebih tinggi kerana kita akan menggunakan lebih ramai bintang terkenal selain tempoh penggambaran lebih panjang," katanya kepada media ketika majlis meraikan kejayaan LFS itu, di sini, hari ini.

    Katanya, meskipun berdepan masalah rakaman haram ketika awal tayangan, namun beliau bersyukur perkara berkenaan tidak memberi kesan besar kepada filem arahan anaknya itu.

    "Kita pada mulanya amat terkilan dengan sikap individu yang melakukan rakaman secara haram di dalam panggung dan siasatan masih dijalankan, sekiranya mereka ditangkap kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

    "Masalah ini perlu dibendung kerana ia memberi kesan yang sangat besar kepada penerbit filem masa kini. Saya harap masalah ini tidak akan berulang dan rakyat Malaysia terus menyokong dunia perfileman kita," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Abang Long Fadil 2 Kutip RM700,000 Di Terengganu "